Tiga beranak nyaris maut, rumah dihempap pokok

Iklan
Mohd Faizal menunjukkan keadaan sebahagian rumah didiami mereka runtuh dan ranap akibat dibadai ribut di Blok P Sawah Sempadan, dalam kejadian awal pagi.

TANJONG KARANG - Pantang maut sebelum ajal mungkin perumpamaan paling sesuai apabila tiga beranak terselamat sedangkan sebahagian rumah mereka ranap akibat ditimpa pokok pulai sebesar tiga pemeluk yang tumbang menimpa kediaman mereka dalam kejadian ribut di Blok P Sawah Sempadan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, pokok pulai sebesar tiga pemeluk setinggi 27 meter itu tumbang mengakibatkan empat bilik, ruang tamu dan bahagian dapur kediaman itu musnah.

Iklan
Iklan

Penghuni rumah tersebut, Mohd Faizal Rosdi, 33, berkata, ketika kejadian dia tidur di bilik atas rumah separa kayu itu manakala ibunya, Azizah Ahmad, 54, dan adiknya Norasykin Rosdi, 13, pula di bilik berasingan.

"Saya terjaga daripada tidur sejurus terdengar bunyi ribut kuat dan ingin melihat keadaan emak di bilik berasingan, namun belum sempat ke bilik emak tiba-tiba rumah bergegar dengan kuat dan kemudiannya runtuh," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Faizal berkata, runtuhan itu menyebabkan dia terperangkap dalam biliknya namun berjaya keluar daripada runtuhan kayu berkenaan.

"Keadaan masa itu gelap dan saya cuba keluar daripada celah runtuhan dan syukur apabila melihat emak dan adik perempuan telah keluar daripada runtuhan," katanya.

Iklan

Menurutnya, dia bersyukur ketika kejadian isterinya dan empat anak mereka berusia lingkungan lima hingga 10 tahun berada di rumah ibu mertuanya.

"Alhamdulillah isteri dan anak-anak tiada dalam kejadian ini dan saya tak tahu apa nasib kami kalau semua ahli keluarga berada pada waktu kejadian," katanya.

Menurutnya, kediaman itu merupakan rumah pusaka peninggalan arwah neneknya yang berusia lebih 60 tahun.

"Malah, pokok pulai ini juga pernah dipanah petir sebelum ini, namun keadaannya tidaklah seteruk ini hingga tumbang lalu meranapkan rumah.

"Anggaran jumlah kerosakan dan kerugian dialami melebihi RM150, 000," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 019-6920755 atau menyalurkan bantuan pada nombor akaun Bank Islam (12083020044996) atas nama Mohd Faizal Rosdi.