Buluh tidak akan ganti sawit sebagai komoditi utama negara

Iklan
Mohamad Khairuddin Aman

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak berhasrat untuk menggantikan komoditi utama negara iaitu kelapa sawit dengan tanaman buluh.

Menterinya, Datuk Dr Mohamad Khairuddin Aman berkata, malah kementerian sedang memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini, memperluaskan pasaran di luar negara, mempelbagaikan produk nilai tambah makanan dan meneruskan pelbagai kajian mengenai kebaikan dan manfaat sawit kepada dunia.

Iklan
Iklan

"Pada masa sama, kementerian sedang meneroka peluang buluh sebagai satu lagi komoditi masa depan di samping pelbagai lagi produk komoditi lain,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Hatta Ramli (PH-Lumut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, bagi membangunkan industri buluh, kementerian telah menyenaraikan tanaman tersebut sebagai antara tanaman hutan yang perlu dikomersialkan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bersama-sama dengan lapan lagi spesies tanaman hutan iaitu getah TLC, Akasia, Kelampayan/Laran, Batai, Jati, Binuang, khaya dan Sentang.

Iklan

"Baki terkini peruntukan PPLH berjumlah RM85 juta. Kementerian saya sedang dalam proses mengubah skim pinjaman ini kepada pembiayaan patuh Syariah,” katanya.

Bagi membangunkan lagi industri buluh katanya, kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia kini dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

Iklan

"Dari segi prospek buluh, secara umumnya, saiz pasaran buluh global adalah besar iaitu berjumlah AS$68.80 bilion pada 2018.

"Buluh boleh digunakan untuk menghasilkan papan lapis, perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan, eko-pelancongan dan bahan bakar seperti pembuatan arang dan pellet.

"Justeru, peluang pasaran ini perlu diteroka kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari pelbagai segi untuk membangunkan industri buluh,” katanya.

Beliau juga berkata, buluh mampu menjana anggaran pendapatan bersih sebanyak RM36,000 sehektar, selepas menolak kos tanaman buluh termasuk kos buruh, anak pokok, penyelenggaraan dan pengeluaran sehektar sebanyak RM28,000 sehektar. - Bernama