IPOH - Kerajaan perlu membantu Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan memberikan pelajar kepada mereka untuk meneruskan survival pasca koronavirus (Covid-19).
Ketua Pegawai Eksekutif Taj International College (TIC), Tina Tajuddin berkata, dengan adanya pelajar yang merupakan aset utama bagi institusi pengajian tinggi (IPT) ini maka IPTS yang terjejas boleh kembali bernafas.
Menurutnya, soal keperluan dana tambahan untuk menyelamatkan IPTS sehingga RM10 bilion bukanlah sesuatu keperluan yang mendesak namun usaha itu disambut baik.
"Kita melihat masalah yang dihadapi oleh IPTS akibat pandemik Covid-19 boleh diselesaikan dengan adanya kemasukan pelajar. Bila ada pelajar, adalah pendapatan IPTS itu. Jadi kita mencadangkan kerajaan supaya menyenaraikan IPTS berkelayakan di dalam UPU untuk bersama-sama Universiti Awam (UA).
"Ada banyak IPTS yang berkualiti dan setanding dengan UA namun terpaksa berusaha sendiri mencari pelajar dengan pelbagai program promosi. Saya fikir jika kelonggaran diberikan kepada IPTS untuk disenaraikan di dalam UPU, maka lebih banyak IPTS boleh menerima kemasukan pelajar," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kebangsaan Institut Pengajian Tinggi Swasta Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Desa yang menjelaskan bahawa IPTS memerlukan dana bantuan sebanyak RM10 bilion bagi membantu usahawan berkaitan yang terjejas akibat Covid-19.
Dalam pada itu, Tina berkata, Covid-19 seharusnya dilihat dari sudut positif yang memberikan rahmat di sebalik musibah kerana ia mengajar sesuatu buat semua industri.
Katanya, penularan wabak itu memberikan peluang kepada banyak pihak termasuk pengusaha IPTS untuk mencuba perkara baharu dan mempersiapkan mereka ke arah pendidikan secara digital.
"Kami di TIC tidak terkecuali berdepan situasi sukar seperti orang lain namun kita mengambil pendekatan menggunakan segala kemudahan kerajaan untuk mengurangkan kos ditanggung.
"Selain itu kami turut membuat beberapa penyesuaian termasuk melaksanakan kaedah pembelajaran secara maya atau digital yang sudah semakin diterima baik oleh pelajar dan tenaga pengajar," katanya.
Dalam pada itu, Tina berpandangan, pemberian dana pinjaman kepada IPTS akan membebankan pihak pengusaha kerana mereka berdepan hutang yang perlu dibayar.
Katanya, mereka perlu mencari jalan menambah pendapatan dan aset agar tidak terbeban dengan hutang yang akan menjejaskan pengoperasian institusi mereka.
Beliau berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas membantu IPTS yang terkesan tanpa melibatkan perbelanjaan besar, mereka harus mempertimbangkan supaya senarai IPTS yang layak dimasukkan ke dalam UPU.