KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (UMNO-Arau) memohon penjelasan daripada Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada perkataan barua boleh digunakan dalam Dewan Rakyat atau sebaliknya.
Shahidan berkata, beliau akan menggunakan perkataan itu dengan sebanyak mungkin sekiranya dibolehkan.
"Kelmarin Batu Kawan (Kasthuri Patto-DAP) mengeluarkan perkataan barua kepada Speaker. Jadi saya nak tanya adakah perkataan barua boleh digunakan dengan wajarnya di Parlimen yang mulia ini?
"Kalau boleh, saya akan gunakan perkataan barua dengan banyaknya pada hari ini.
"Jadi saya minta ruling sama ada barua itu parliamentary atau unparliamentary,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Azalina kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menyemak maksud perkataan barua kerana tidak membawa kamus pada hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, perkataan itu membawa maksud yang tidak baik dan menyatakan Speaker, Datuk Azhar Azizan@ Harun akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
"Kalau Yang Berhormat kata perkataan ‘barua’, biarlah saya tengok hansard dan saya boleh buat keputusan dan bincang dengan Speaker lepas ini.
"Tapi saya beritahu tadi secara umum. Tapi saya tengok Speaker nak bincang menyeluruh dalam Dewan ini disebabkan ada beberapa perkataan yang telah dicampak semalam dalam keadaan penuh kontroversi dan provokasi oleh semua pihak.
"Jadi kita perlu kaji dan saya rasa untuk berlaku adil, kita perlu tengok pada hansard,” kata Azalina.