KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas pelbagai barangan tiruan berjenama popular bernilai RM97,620 dalam Ops Barang Tiruan semalam.
Dalam tiga serbuan berasingan dilakukan serentak pada jam 12.30 tengah hari di Kuala Terengganu dan Marang bersama wakil cap dagang itu, KPDNHEP Terengganu turut menahan dua lelaki dan empat wanita yang menjual barangan tiruan berkenaan.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kesemua barangan iaitu 821 pasang kasut, stokin (3,120), tali pinggang (46), dompet (enam), baju (enam), selipar (lima) dan sebuah beg tangan wanita dijumpai tersimpan dalam stor simpanan.
"Hasil risikan dan maklumat awal selama sebulan, kita mendapati dua premis ini menjalankan operasi perniagaan secara dalam talian sejak enam bulan lalu.
"Sementara satu premis lagi menjual barang tiruan ini di premis mereka,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit Chendering hari ini.
Menurut Saharuddin, ops tersebut merupakan operasi cap dagang ketiga dilakukan agensi itu pada tahun ini dan merupakan rampasan terbesar setakat ini.
Beliau berkata, enam suspek berusia sekitar 20-an hingga 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagang 2019.
Jika sabit kesalahan katanya, semua suspek boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"KPDNHEP sentiasa memantau peniaga sama ada di premis mahupun atas talian dan kita ingin menegaskan kepada peniaga supaya menjual barangan original yang mana terjamin dari sudut kualitinya kepada pengguna.
"Bagi pengguna pula, kita dinasihatkan supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran bagi melindungi hak cipta pemilik cap dagang yang tidak boleh ditiru sewenang-wenangnya untuk dijual demi mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya.