Perak puas hati persiapan sekolah

Iklan
Razman ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah pada 9 Julai lalu bagi meninjau keadaan persiapan sekolah.

IPOH - Kerajaan Perak berpuas hati dengan komitmen dan persediaan dilakukan pentadbiran sekolah menjelang pembukaan sesi pembelajaran bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan serta murid Tahun 5 dan 6 esok.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan mendapati semua 1,102 sekolah terlibat melakukan persiapan rapi bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), kehadiran ke sekolah esok melibatkan seramai lebih 109,000 pelajar Tingkatan 1 hingga 4, Tahun 5 dan 6 (65,907 pelajar), kelas peralihan (1,621 pelajar) dan 6,334 pelajar bagi kelas pendidikan khas menengah dan rendah.

"Keseluruhannya kita berpuas hati, sejak pengumuman dibuat kerajaan 1 Julai lalu, kita telah lakukan pemantauan secara dekat di semua sekolah.

Iklan

"Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran tanpa sebarang masalah," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pada awal persediaan lalu, pihaknya ada menerima aduan sekolah berdepan masalah kekurangan kelas disebabkan penjarakkan satu meter dari meja ke meja.

Iklan

"Bagaimanapun setelah prosedur ini ditambah baik iaitu jarak satu meter itu diukur dari bahu ke bahu, maka dengan sendirinya masalah itu tidak timbul, satu kelas boleh memuatkan hingga 30 pelajar," katanya.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dan kelas peralihan serta murid Tahun 5 dan 6 akan bermula bersekolah pada 15 Julai.

Murid Tahun 1 hingga 4 sekolah rendah pula boleh mula ke sekolah pada 22 Julai ini.