Covid-19: Bank ASEAN, India hadapi peningkatan cabaran

Iklan
Ekonomi mencabar dan kedudukan kredit akibat pandemik Covid-19 akan mempengaruhi kualiti aset dan keberuntungan bank ASEAN dan India. Foto: 123RF
KUALA LUMPUR - Ekonomi mencabar dan kedudukan kredit akibat pandemik koronavirus (Covid-19) akan mempengaruhi kualiti aset dan keberuntungan bank ASEAN dan India, menurut Moody's Investors Service.

Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan, Eugene Tarzimanov berkata di ASEAN dan India, penurunan taraf bank pada 2020 telah didorong oleh bank-bank India susulan penarafan negara itu yang turun pada Jun.

"Walaupun begitu, kebanyakan bank di rantau ini berkedudukan baik pada penarafan masing-masing, meskipun terdapat unjuran negatif yang tinggi ke atas penarafan bank," katanya menerusi kenyataan penyelidikan hari ini.

Moody's berkata, ia menjangkakan kualiti aset dan keberuntungan susut daripada paras baik pada 2019 di seluruh kebanyakan sistem perbankan, namun Singapura, Malaysia dan Filipina mencatatkan kualiti aset terbaik dengan pinjaman tanpa hasil berada di bawah dua peratus.

Ia berkata, walaupun langkah sokongan kerajaan akan mengimbangi tekanan ke atas bank-bank, namun mereka tidak dapat menghindari sepenuhnya impak negatif.

Moody’s berkata, walaupun unjuran adalah mencabar, kebanyakan bank memiliki modal mencukupi dan ia menjangkakan pendanaan dan mudah tunai mereka kekal kukuh dan stabil pada 2020-2021.

"Contohnya, pengawal selia di India, Thailand dan Vietnam telah menyekat dividen bank, kredit positif bagi bank, walaupun bank-bank utama akan terus mendapat manfaat daripada aliran masuk deposit memandangkan ia dlihat sebagai aset selamat dalam tempoh tekanan ini,” katanya.

Moody's mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar kebanyakan ekonomi ASEAN dan India menguncup tahun ini dan beransur pulih pada 2021.

Kelonggaran yang diberikan ke atas sekatan pergerakan dan penyambungan semula aktiviti ekonomi akan menjadi faktor utama yang menyokong pemulihan tersebut, menurut Moody’s. - Bernama