KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menempatkan sebanyak 82 tangki statik di sekolah, klinik kesihatan dan pusat dialisis bagi memastikan aktiviti harian di semua institusi tersebut dapat diteruskan seperti biasa.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, pihaknya juga sudah menggerakkan sebanyak 93 lori tangki air ke 82 premis kritikal termasuk hospital dan pusat dialisis di sekitar wilayah yang terjejas.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) sudah bermula sejak jam 9 pagi tadi dan berjalan lancar mengikut jadual.
"Tempoh masa kerja penambahbaikan dan pemulihan loji dianggarkan selama 24 jam. Henti tugas LRA SSP3 ini menyebabkan pengurangan pengeluaran air bersih sebanyak 472 juta liter sehari berbanding kapasiti normal sebanyak 800 juta liter sehari.
"Pada masa ini, status kemajuan kerja penambahbaikan adalah pada tahap 72 peratus berbanding sasaran perancangan awal iaitu 53 peratus. Kemajuan ini adalah 19 peratus lebih awal berbanding tempoh masa kerja yang dirancang sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lebih 472,000 pemilik akaun di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan air berjadual selama empat hari bermula hari ini.
Ia berikutan henti tugas di LRA SSP 3 dan loji berkenaan dijangka kembali beroperasi esok namun tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan.
Dalam pada itu orang ramai boleh melayari pautan khas di https://www.hentitugasssp3.airselangor.com bagi mengetahui jangkaan waktu pemulihan kawasan terlibat, premis kritikal, lokasi pusat khidmat setempat, lokasi pili awam dan stesen pengisian setempat untuk gangguan berjadual melibatkan LRA SSP3.
Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
"Air Selangor menasihatkan pelanggan terjejas untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya lagi.