JOHOR BAHRU - Inisiatif 'Soft Skill' akan menjadi pemacu baharu kepada kredibiliti Polis Johor ketika mengendalikan sebarang situasi penugasan khususnya apabila berdepan masyarakat.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ia juga merupakan kemahiran yang perlu diadaptasi semua pihak bagi memantapkan asas kepolisan sedia ada.
"Soft Skill ini sebenarnya untuk memantapkan seseorang anggota itu mencapai daya kreativiti dan pengadilan yang baik. Bukan maknanya kita menjadi lemah.
"Polis perlu menggunakan kaedah lebih lembut serta menunjukkan empati dan keprihatinan kepada masyarakat.
"Mereka juga perlu faham tugas ini memerlukan mental kuat terutamanya untuk berhadapan dengan masyarakat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Mohd Khalil berkata, sekiranya ada anggota yang tidak mampu berdepan cabaran itu, mereka akan diarahkan untuk Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP).
Melihat kepada perkembangan sosio budaya yang sedang berlaku, beliau berkata, untuk menjadi relevan polis kini sudah tidak boleh hanya terikat dengan gambaran tegas semata-mata.
"Kita tidak boleh hanya digambarkan dengan kekekarasan atau tegas sahaja, kita kena ada pemikiran yang lebih menjurus kepada kepolisan zaman semasa.
"Kita tetap tegas dan laksanakan undang-undang tetapi kita perlu ada perasaan prihatin bukan kepada penjenayah tetapi kepada masyarakat yang memerlukan servis kita," jelasnya.
Dalam masa sama, Mohd Khalil percaya penerapan Soft Skill itu juga mampu mengurangkan kadar salah laku dalam kalangan pegawai dan anggotanya, tahun ini.
"Kita harap keberkesanan Soft Skill ini dapat mengatasi anggota polis yang melakukan kesalahan dan mencemar nama baik pasukan.
"Kalau boleh saya tidak mahu kurangkan, saya mahu sifar tidak berlaku perkara ini," katanya.