V Shem yakin kemampuan skuad negara di Piala Thomas

Iklan
Goh V Shem

PEMAIN beregu lelaki profesional, Goh V Shem yakin dengan kemampuan skuad negara ketika ini yang dirasakan cukup mantap untuk menyerlah dalam Kejohanan Piala Thomas 2020, Oktober depan.

"Malaysia memang kuat. Sekarang ada Lee Zii Jia untuk perseorangan. Kita juga ada beregu yang kuat, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang mempunyai standard permainan tinggi.

Iklan
Iklan

Keyakinan kena ada, jika kurang memang susah untuk bermain acara berpasukan dan menang Piala Thomas," V Shem yang bergandingan dengan Tan Wee Kiong meraih pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, berkata kepada pemberita selepas melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber pada mulanya dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 16 hingga 24 Mei. Kemudian ia ditunda ke 15 hingga 23 Ogos sebelum ditunda lagi kepada 3 hingga 11 Oktober berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.

Iklan

Sebagai persiapan ke Piala Thomas dan Piala Uber, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan memanggil pemain profesional termasuk Liew Daren, Soong Joo Ven dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk menjalani latihan secara bersama di ABM bermula esok.

V Shem yang gembira dapat kembali ke ABM selepas memilih untuk meninggalkan BAM tahun lepas, bagaimanapun terpaksa akur apabila jurulatih mereka, Chew Choon Eng tidak akan bersama di ABM dan mereka perlu segera menyesuaikan diri dengan tenaga pengajar di BAM iaitu Flandy Limpele.

Iklan

Flandy dilantik bagi mengetuai barisan jurulatih beregu lelaki menerusi penstrukturan semula yang dilakukan BAM pada Mei lepas, dan dijadual membimbing pemain negara bermula Jumaat depan, selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari.

Jurulatih berusia 46 tahun itu akan mengambil alih tugas rakan senegaranya, Paulus Firman yang ditukarkan menjadi ketua jurulatih beregu campuran. - Bernama