SHAH ALAM - Kerajaan akan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera.
MKB akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hasil keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bil 15/2020 hari ini.
Iklan
Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penubuhan MKB adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.
"Ia juga selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam dua aspek utama iaitu menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosio- ekonomi bumiputera.
"Selain itu, memperkemas dan menambah baik pangkalan data berpusat bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik," katanya.
Teraju yang ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah unit strategik yang berperanan untuk meneraju, memacu dan menyelaras agenda pembangunan Bumiputera sejajar dengan WKB 2030.