SHAH ALAM - Rakyat Selangor disaran supaya mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang keselamatan kebakaran dan ilmu kebombaan berikutan negeri itu mencatatkan jumlah panggilan kecemasan tertinggi sepanjang tahun lepas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman berkata sebanyak 20,846 panggilan kecemasan diterima pihaknya pada tahun lepas yang menunjukkan peningkatan 1,773 kes berbanding tahun 2017 dengan 19,073 panggilan.
Iklan
Iklan
Beliau berkata daripada jumlah panggilan tahun lepas, 13,361 daripadanya adalah berkaitan penyelamatan; 7,377 panggilan kebakaran; khidmat khas (78 panggilan) serta enam panggilan palsu dan pihaknya percaya peningkatan tersebut disebabkan oleh kepelbagaian kemalangan domestik serta industri susulan kepesatan pembangunan selain perubahan aspek persekitaran.
Taksiran kerugian akibat kemusnahan harta benda pada tahun lepas juga, katanya, meningkat kepada RM1.1 bilion berbanding RM943 juta pada 2017 manakala taksiran harta yang diselamatkan pula adalah sebanyak RM13 bilion (pada 2018) berbanding RM30.3 bilion (2017).
"Walaupun Selangor sebuah negeri maju, namun rakyatnya masih belum cukup maju dalam aspek pengetahuan keselamatan kebakaran. Disebabkan itu kita nak ajak masyarakat datang ke balai-balai bomba dan pelajari tentang aspek ini seterusnya mempersiapkan diri dengan ilmu kebombaan. - Bernama