KUANTAN - Bilangan mangsa banjir di daerah Lipis meningkat kepada 395 mangsa daripada 103 keluarga sehingga jam 8 pagi tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (infoBencanaJKM), semua mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah dan Balora Alor Gading.
Seramai 268 mangsa dari 68 keluarga berada di PPS SK Chegar Perah dan 127 mangsa dari 35 keluarga berada di PPS Balora Alor Gading.
PPS SK Chegar Perah dibuka sejak kelmarin bagi menempatkan mangsa banjir dari kampung berkenaan.
Difahamkan, banjir berpunca daripada limpahan Sungai Berhamah dan Sungai Merapoh ke Sungai Tanum akibat hujan lebat sejak malam kelmarin.
Terdahulu, PPS di SK Teluk Gunung juga dibuka bagi menempatkan 54 mangsa dari 12 keluarga sebelum ditutup selepas semua mangsa kembali ke rumah masing-masing.
Banjir yang melanda daerah itu turut menjejaskan Pejabat Perhilitan di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh yang memaksa beberapa kakitangan dan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan.
Nasib mangsa banjir di daerah Lipis mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila baginda mencemar duli melakukan lawatan mengejut di SK Chegar Perah semalam.
Berdasarkan kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda tiba di sekolah itu pada jam 3.45 petang dan meluangkan masa selama hampir 45 minit bertemu mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan itu.
Selain meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dengan mangsa banjir, baginda turut mengurniakan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa terlibat.