Pelumba Petronas Yamaha SRT sasar keputusan positif di GP Sepanyol

Iklan
Morbidelli (kiri) dan Quartararo optimis mampu beri impak positif di Litar Jerez, Sepanyol. -Foto: Petronas SRT

DUA pelumba Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli masing-masing menyasarkan untuk memperoleh keputusan positif dalam Kejuaraan Dunia MotoGP yang disambung semula hujung minggu ini di Litar Jerez, Sepanyol.

Quartararo yang meraih petak pertama dalam sesi kelayakan tahun lepas, tetap optimis dengan peluangnya untuk memenangi podium pada Grand Prix (GP) Sepanyol.

Iklan
Iklan

"Semasa tempoh perintah berkurung, saya banyak melakukan latihan kardio malah saya juga tidak berlatih menggunakan motosikal beberapa minggu lepas sebab saya tidak mahu mengambil risiko.

"Saya cukup bersedia untuk perlumbaan ini dan saya masih ingat kali terakhir saya menggunakan (jentera) YZR-M1 semasa sesi ujian rasmi di Qatar, ia adalah simulasi untuk perlumbaan dan saya berasa yakin," katanya dalam kenyataan media pasukan itu, hari ini.

Iklan

Sementara Morbidelli yang menyambung kontraknya bersama pasukan itu sehingga 2022 baru-baru ini, berharap keputusan positif yang diperoleh semasa sesi ujian pramusim MotoGP di Qatar dan Malaysia awal musim ini, akan menjadi dorongan utama untuk beliau beraksi cemerlang pada perlumbaan hujung minggu ini.

"Kita perlu pantas mencapai kelajuan kerana tidak ada terlalu banyak masa sebelum perlumbaan pada Ahad untuk kembali membiasakan diri dengan motosikal itu.

Iklan

"Setiap perlumbaan MotoGP adalah sangat mencabar tetapi kali ini cabarannya berbeza. Ia akan menjadi perlumbaan yang sama untuk semua pelumba kerana ia tidak memberi kelebihan atau kekurangan kepada sesiapa pun," kata pelumba berusia 25 tahun dari Itali, yang menamatkan saingan di tempat ketujuh pada perlumbaan yang sama musim lepas.

Baru-baru ini, Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, telah mengubah semula jadual perlumbaan MotoGP 2020 dan Litar Jerez akan menjadi tuan rumah untuk dua perlumbaan berturut-turut iaitu GP Sepanyol (16-19 Julai) dan GP Andalusia (24-26 Julai).