SHAH ALAM - Masyarakat disaran mengetepikan ideologi politik apabila membincangkan hal-hal yang melibatkan golongan belia.
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh berkata, rakyat Malaysia perlu menjadi ejen yang mempromosikan budaya hormat-menghormati sekali gus mendukung rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Menurutnya, budaya hormat-menghormati ini adalah satu kuasa 'intangible' yang dapat membentuk kesejahteraan negara tanpa mengira golongan.
"Malaysia sekarang ini sudah terkenal di mata dunia kerana kesopanan kita yang mendengar cakap pihak berkuasa, hormat kepada paramedik, 'frontliners' dan sebagainya.
"Ini adalah satu kuasa yang amat amat berpengaruh kuat dan membawa imej Malaysia sebagai satu negara yang hebat bukan disebabkan ekonomi tetapi rakyatnya yang begitu sopan berdisiplin dan berpekerti tinggi.
"Jadi saya harap kita teruskan, perbanyakkan dan hilangkanlah sikap 'cybertroper' yang suka membuli di alam maya kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,” katanya selaku panelis Wacana 179 bertajuk Politik Malaysia: Sejauh mana suara anak muda didengari? di Studio F, di Karangkraf di sini malam tadi.
Dr Sharifah Shahirah berkata, apabila bercakap mengenai suara belia kita perlu melihat kepada beberapa aspek termasuklah siapa yang mewakili belia itu sendiri.
Katanya, jika dilihat jumlah golongan belia yang menjadi wakil di dalam Parlimen negara ia masih belum mencapai peratusan sepatutnya dan perlu dipertingkatkan lagi.
"Kita mempunyai rakyat yang matang dari segi demokrasi, maka suara-suara daripada golongan muda ini perlu ada. Jika populasi belia ada 47 peratus maka dalam Parlimen juga perlu ada jumlah tersebut.
"Walaupun kita lihat di dalam Parlimen ada banyak drama tetapi saya rasa lega sedikit apabila ada pemimpin-pemimpin utama tanpa mengira daripada parti mana tampil menegur apabila berlakunya insiden yang tidak seharusnya berlaku.
"Ini menunjukkan bahawa pemimpin kita juga sedar bahawa budaya hormat-menghormati ini adalah satu perkara yang menjadi aset utama rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sharifah Shahirah turut menasihatkan golongan muda supaya tidak bosan dengan politik kerana politik adalah medan mereka untuk bernegosiasi membabitkan hak-hak mereka.