SABAK BERNAM - Video yang memaparkan bahagian bumbung dewan makan sebuah sekolah agama menengah di daerah ini runtuh tular di laman Facebook sejak petang tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang tadi namun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Video berdurasi 0.27 saat itu memaparkan bahagian bumbung bangunan itu melendut kemudian runtuh hingga meranapkan sebahagian bangunan terbabit.
Menerusi rakaman video yang di muat naik itu, terdapat suara seseorang yang berada di lokasi kejadian menyebut perkataan 'ALLAH' beberapa kali.
Pada akhir rakaman video itu memaparkan keadaan berhabuk dan berdebu akibat kesan runtuhan terbabit.
Menerusi komen di laman sosial Facebook, dewan makan itu sudah tidak lagi digunakan berikutan faktor keselamatan.
"Itu merupakan dewan makan (pelajar) perempuan. Anak saya mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sekolah terbabit.
"Pada waktu makan, pelajar perempuan memang diarahkan makan di dewan makan lelaki...jadi tindakan sudah diambil dan tiada pelajar masuk ke kawasan larangan tersebut," katanya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian yang ingin membuat liputan di lokasi kejadian tidak dibenarkan masuk ke sekolah terbabit.