ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan sakit hampir setengah jam apabila lidahnya tersangkut pada corong botol dalam kejadian di Baling hari ini.
Mangsa berusia 6 tahun itu dibawa ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan sebelum anggota bomba dan penyelamat dipanggil jam 4.50 petang untuk memberi bantuan.
Iklan
Iklan
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling digerakkan ke hospital untuk memberi bantuan khidmat khas hospital.
"Setibanya di hospital, kita mendapati corong botol tersangkut pada lidah seorang kanak-kanak.
"Kita memotong botol menggunakan peralatan khas 'operating scissor'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, pasukan penyelamat mengambil masa selama 28 minit untuk mengeluarkan botol tersebut dengan bantuan kakitangan hospital.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan kecil pada lidah akibat kejadian itu.