ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud:"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu secara batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu.”
Dalam ayat di atas, ALLAH menjelaskan bahawa Dia mengharamkan sebarang tindakan memakan harta orang lain secara batil iaitu mengikut cara-cara yang diharamkan dalam Islam seperti mencuri, merampas dan membuat paksaan.
Seterusnya ALLAH SWT menerangkan pula kaedah yang diiktiraf syarak untuk memiliki sesuatu harta iaitu melalui perniagaan yang berasaskan kepada suka sama suka (taradhi). Syarat"suka sama suka” menunjukkan bahawa sebarang transaksi yang dilakukan secara paksaan, tidak akan mensabitkan hak pemilikan yang sah.
Saya membicarakan topik paksaan dalam tulisan saya kali ini kerana kebetulan ada pertanyaan daripada sahabat saya berkaitan dengan satu transaksi yang didakwa oleh seseorang sebagai mengandungi unsur paksaan. Sudah lama saya perasan wujudnya salah faham tentang konsep paksaan kerana apa yang didakwa itu bukanlah paksaan dalam erti kata yang sebenar.
Dalam Islam, paksaan yang boleh menjejaskan syarat suka sama suka dan membatalkan akad adalah yang mengandungi unsur ancaman atau ugutan. Oleh itu, para ulama telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan kita mendakwa transaksi yang kita lakukan itu adalah secara paksaan. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
- i-Orang yang memaksa hendaklah mampu melaksanakan ugutan atau ancaman yang dibuat;
- ii-Orang yang dipaksa ada sangkaan tinggi bahawa orang yang memaksa tersebut mampu melaksanakan ancaman atau ugutannya sekiranya dia enggan menurut perintahnya dan dia pula tidak mampu menghalangnya daripada melaksanakan ugutan atau ancaman tersebut;
- iii-Ancaman atau ugutan yang dibuat oleh orang yang memaksa itu melibatkan keselamatan ke atas nyawa, anggota dan harta; dan
- iv-Orang yang dipaksa telah menunjukkan keengganannya untuk melakukan perbuatan tersebut sebelum ugutan atau ancaman dibuat lagi.
Oleh itu, jika kita secara suka rela memasuki sesuatu kontrak jual beli dan penjual telah menetapkan harga jualan tertentu, kita tidak boleh mendakwa bahawa kita dipaksa membayar dengan harga tersebut. Begitu juga jika kita menyertai sesuatu pelaburan yang telah ditetapkan jumlah pelaburan minima atau memilih untuk menjadi ahli sesuatu kelab atau mana-mana syarikat perniagaan jualan langsung berbilang tingkat yang telah menetapkan jumlah yuran yang tertentu, tanpa ada apa-apa ancaman atau ugutan daripada sesiapa terhadap kita, maka kita tidak boleh mendakwa kita dipaksa membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan tersebut.
Selagi mana pihak yang berkenaan telah menyatakan dari awal secara jelas jumlah harga, atau jumlah minima modal pelaburan atau yuran keahlian, dan kita dengan pilihan sendiri telah bersetuju untuk membeli atau melabur atau menjadi ahli, maka kita terikat membayar dengan harga tersebut atau dengan jumlah modal berkenaan atau dengan jumlah yuran berkenaan.
Ini samalah seperti seseorang itu apabila dia telah memeluk Islam dengan rela hati sendiri, maka secara langsung dia terikat dengan segala peraturan yang ada dalam agama Islam. Oleh itu dia tidak boleh mendakwa bahawa dia dipaksa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti dipaksa membayar zakat, dipaksa solat dan sebagainya.
Akhir kalam, moga kita dapat membetulkan kembali kekhilafan kita tentang konsep paksaan yang boleh mencacatkan syarat suka sama suka dalam sesebuah transaksi. Wallahu a’lam.
*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah