Dasar AS dan zon maritim kita

Iklan
Laut China Selatan. - Foto AFP

PERKEMBANGAN geopolitik terkini jelas tidak memberi kita banyak pilihan di Laut China Selatan. Pada 13 Julai baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mengisytiharkan sokongan kepada Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain daripada ancaman China di Laut China Selatan.

Pada 14 Julai pula, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendedahkan tentera laut China menceroboh perairan kita sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019. Bagaimana dasar terbaru AS dan Laporan Ketua Audit ini mengimpak strategi perlindungan dan pemerkasaan Zon Maritim kita di Laut China Selatan?

Iklan
Iklan

Secara khusus, kenyataan akhbar pejabat Setiausaha Negara AS bertajuk ‘US Position on Maritime Claims in the South China Sea’ itu menyebut dua wilayah milik kita iaitu Gugusan Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) serta Beting Serupai (James Shoal).

AS menegaskan bahawa mereka ‘menolak sebarang tuntutan maritim China di perairan yang mengelilingi Vanguard Bank (di luar Vietnam), Luconia Shoals (di luar Malaysia), perairan di EEZ Brunei, dan Natuna Besar (di luar Indonesia)’.

Iklan

Malah, ‘Sebarang tindakan China untuk mengganggu aktiviti penangkapan ikan atau hidrokarbon negara lain di perairan ini - atau untuk menjalankan aktiviti tersebut secara sepihak - adalah tidak sah’.

Berkenaan Beting Serupai (James Shoal) pula, AS berpendirian bahawa China tidak memiliki sebarang asas tuntutan wilayah atau maritim yang sah, di mana ia hanya 50 batu nautika dari Malaysia dan sekitar 1.000 batu nautika dari pantai China. Untuk rekod, Beting Serupai atau dipanggil ‘Zengmu Ansha’ oleh China sering disebut dalam propaganda China sebagai"wilayah paling selatan China".

Iklan

AS memetik keputusan sebulat suara pada 12 Julai 2016 oleh Tribunal Timbang tara di The Hague, Belanda, berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 yang menolak tuntutan maritim China sebagai tidak mempunyai dasar dalam undang-undang antarabangsa.

AS menegaskan dasar rasminya di Laut China Selatan ini seperti berikut:"Dunia tidak akan membenarkan Beijing memperlakukan Laut China Selatan sebagai empayar maritimnya. Amerika berdiri dengan sekutu dan rakan kongsi Asia Tenggara kita dalam melindungi hak kedaulatan mereka ke sumber luar pesisir, sesuai dengan hak dan kewajiban mereka di bawah undang-undang antarabangsa.

Kami berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan kebebasan laut dan menghormati kedaulatan dan menolak sebarang desakan untuk memaksakan"might is right" di Laut China Selatan atau wilayah yang lebih luas”.

Ancaman

Kita di Malaysia cukup mengetahui betapa benarnya realiti cubaan China untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai ‘empayar maritim’ mereka; sejak 2012 lagi kapal mereka mengancam kapal seismic survey Petronas, sejak 2013 lagi mereka mengadakan latihan ketenteraan dan memacak bendera China di Beting Serupai.

Terkini, peristiwa ancaman kapal China ke atas kapal eksplorasi West Capella di bawah kontrak Petronas di dua blok penerokaan hidrokarbon kita iaitu Arapaima-1 dan Lala-1 jelas membuktikan wajah imperialis sebenar China – sama seperti mana lagak mereka di Turkestan Timur (Xinjiang).

Lihat saja bagaimana China tidak mengendahkan nota bantahan kita terhadap pencerobohan berterusan mereka ke wilayah kita. Sebagaimana menurut laporan Ketua Audit Negara,"Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019”.

Tidak menghairankan apabila laporan ini berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Seperti mana sinergi antara TLDM dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan ‘hard power’ AS berjaya sempurnakan misi Petronas ketika peristiwa West Capella, antisipasi senario masa hadapan kita di Laut China Selatan jelas tidak boleh abaikan kemungkinan koordinasi TLDM-Maritim Malaysia dengan Tentera Laut AS yang lebih kerap dan terintegrasi – selari dengan pengisytiharan dasar AS yang terbaru serta pendedahan tentang pencerobohan China yang berterusan.

*Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.