Ahli Parlimen perlu jaga adab ketika berbahas

Iklan
Dewan Rakyat -Foto Bernama

APABILA melihat perbahasan di Dewan Rakyat yang bermula sejak Isnin lalu, barangkali kerajaan perlu memperkenalkan semula mata pelajaran Sivik sebagai subjek wajib di sekolah.

Beberapa insiden di Dewan Rakyat yang menyaksikan segelintir ahli Parlimen mengeluarkan kata-kata kurang sopan dan berkelakuan tidak sepatutnya ternyata sangat mendukacitakan.

Iklan
Iklan

Malah ada pula yang sengaja menjadikan isu kecil untuk mencetuskan pertikaman lidah antara satu sama lain.

Rakyat mengimpikan amalan demokrasi matang berlandaskan prinsip kesopanan dan kesusilaan termasuklah membabitkan perbahasan di Parlimen.

Iklan

Tetapi sebaliknya rakyat terpaksa menyaksikan kelakuan yang seolah-olah dikuasai emosi serta tutur kata kurang sopan kebanyakan ahli Parlimen ketika berhujah.

Contohnya isu warna kulit ketika Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berucap dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling) berkata"gelap, tak nampak” dan"pakailah bedak” yang mencetuskan kekecohan pada hari pertama Dewan Rakyat bersidang.

Iklan

Walaupun Azeez akur dengan arahan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun dan menarik balik serta memohon maaf atas sindiran warna kulit itu, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang ahli politik yang sangat berpengalaman untuk mengeluarkan kenyataan seksis sebegitu.

Parlimen seharusnya menjadi tempat membincangkan kepentingan awam dan tempat perbahasan rang undang-undang demi kesejahteraan serta keharmonian negara.

Ahli-ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk menjaga tutur kata mereka kerana segala tindakan mereka diperhatikan. Malangnya, pada hari pertama sudah ada yang diarah keluar Dewan oleh Speaker.

Malu rakyat tengok! Ahli Parlimen yang dipilih itu sudah tentulah mereka yang berpengalaman dan bijaksana untuk mewakili rakyat, jadi tingkah laku mestilah sesuai dengan watak seorang pemimpin berwibawa.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 27 Ogos ini, jadi kita harap ahli Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang dapat memperbaiki adab ketika berbahas sesuai dengan konsep Malaysia Baharu.