Istilah yang betul dan salah

Iklan

SEBAGAI seorang ahli akademik dan doktor perubatan, tiga ‘ketepatan’ penting yang telah saya pelajari daripada guru-guru saya dari dalam dan luar negara ialah ketepatan maklumat, ketepatan istilah dan ketepatan ejaan.

Penjanaan ilmu amat bergantung kepada ketiga-tiga ketepatan ini dan beberapa ketepatan lain. Sudah tentu ketepatan-ketepatan itu juga adalah perkara yang ditekankan oleh pakar bahasa yang saya kenali.

Iklan
Iklan

Sejak awal dasawarsa 1980-an, saya mula sedar bahawa banyak ejaan serta penggunaan istilah bahasa Melayu yang saya gunakan perlu dibetulkan jika saya mahu bertutur dan menulis dalam bahasa kebangsaan Malaysia yang betul.

Berkali-kali saya menyebut dalam pelbagai sesi ceramah dan pengajaran di dalam dan di luar negara, bagaimana ramai penutur bahasa Melayu amat sering silap menggunakan istilah-istilah berikut: siri, panel, tentatif, terapi, daripada (dibandingkan dengan dari) dan nukilan.

Iklan

Walaupun kesilapan itu berleluasa di Malaysia dalam kalangan mereka yang berusia 50 tahun dan ke bawah, kesilapan juga dilakukan oleh profesional dan akademik yang sudah menjangkau usia 60 tahun. Izinkan saya membincangkan empat daripada kumpulan istilah itu.

Siri

Iklan

Siri bermakna rangkaian yang berturut-turut. Ramai orang merujuk secara salah sesuatu sesi percakapan atau penyampaian ceramah itu sebagai siri. Ia sepatutnya dirujuk sebagai ‘sesi dalam siri beberapa sesi ceramah’. Sesi ceramah yang lepas atau yang akan datang tidak boleh disebut sebagai ‘siri lepas’ atau ‘siri akan datang’. Jika kita menyebut tentang siri yang lepas, ini bermakna siri yang mengandungi, katakan, 10 sesi perbincangan yang telah berlalu.

Satu misalan dalam penggunaan istilah siri secara salah ialah:"Seperti yang telah saya sebut pada siri minggu lalu dalam siri perbincangan kita...” Sepatutnya ia disebut begini:"Seperti yang telah saya sebut pada sesi minggu lalu dalam siri sesi perbincangan kita...”

Kita ambil satu misalan daripada kosa kata bahasa Itali, iaitu ‘Lega Serie A’ (sebutan: le-ga se-ri-e ah). Maknanya ialah liga siri A. Pertama, ia adalah satu liga siri permainan bola sepak yang terunggul di Itali. Kedua, ia merupakan satu siri yang mengandungi beberapa sesi permainan bola sepak nasional yang melibatkan pelbagai kumpulan atau kelab bola sepak. Setiap sesi permainan tidak disebut sebagai siri. Sebabnya ialah setiap siri mengandungi, katakan, 10 atau 15 sesi permainan. Untuk menggantikan istilah satu sesi permainan dengan siri adalah satu kesilapan makna serta kesalahan penggunaan istilah yang besar.

Tentatif

Tentatif bermakna dilakukan tanpa sebarang kepastian. Berikut adalah penggunaan istilah tentatif secara salah:"Tentatif ialah pada jam 9 pagi Isnin 6 Julai di Bilik Kuliah....” Istilah tentatif mesti dipadukan dengan istilah-istilah rancangan, program atau mana-mana istilah yang serumpun dengannya.

Jadi, penggunaan yang betul ialah:"Program Tentatif adalah pada jam 9 pagi Khamis 21 Ogos di Bilik Kuliah....”

Namun istilah tentatif tidak sekali-kali boleh digunakan bila sesuatu program itu sudah pasti. Majlis Tentatif dalam penyiaran media sosial atau kad jemputan salinan keras tidak lagi boleh digunakan pada majlis yang tempat dan tarikhnya sudah dipastikan."Majlis akan berlangsung...” sudah cukup tanpa"tentatif”nya lagi.

Panel

Sekarang kita menyentuh istilah panel yang bermakna sekumpulan orang yang dipilih untuk membincangkan sesuatu tajuk. Maka mereka yang berada dalam panel perbincangan disebut sebagai ‘ahli panel’. Berikut adalah misalan penggunaan istilah panel secara salah:"Sama-samalah kita mendengar pembukaan webinar daripada panel yang pertama.” Sepatutnya ia disebut seperti berikut:"Sama-samalah kita mendengar pembukaan webinar daripada panelis (atau ahli panel) yang pertama.”

Terapi

Dalam bahasa Inggeris, istilah therapy bermakna rawatan penyakit menerusi rawatan perubatan mula muncul dalam kosa katanya pada tahun 1846. Istilah ini berasal daripada ‘therapia’ dalam Latin moden, dan ‘therapeia’, yakni istilah Yunani (Greek) yang bermakna rawatan, penyembuhan, penawar dan perkhidmatan kepada pesakit. Dalam bahasa Arab ia bermakna ‘ilajatau shifa’. Ejaannya dalam bahasa Melayu ialah ‘terapi’ dan bukan ‘teraphi’, ‘therapi’ atau ‘theraphi’.

**Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP