KPM tidak akan perkenal semula PPSMI

Iklan
Mohd Radzi Md Jidin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan diperkenalkan semula Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setakat ini.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan pengenalan tulisan jawi akan dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid.

Iklan
Iklan

Radzi menjelaskan perkembangan itu menerusi jawapan bertulis kepada Wlliam Leong (PKR-Selayang) susulan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu meminta menteri menyatakan alasan memperkenalkan semula PPSMI yang dirancangkan pentadbiran kerajaan terdahulu dan langkah penambahbaikan dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.

Tahun lalu, Perdana Menteri kerajaan PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kementerian sedang mengkaji secara terperinci cadangan untuk melaksanakan semua dasar PPSMI susulan bahasa Inggeris dianggap amat penting di peringkat antarabangsa.

Iklan

PPSMI sebelum ini pernah diperkenalkan bagi Tahun Satu sekolah rendah dan Tingkatan Satu sekolah menengah pada tahun 2003 namun dimansuhkan pada tahun 2013 kerana dianggap tidak praktikal untuk perkembangan potensi pelajar di kawasan luar bandar.

Berkenaan dengan langkah memperkenalkan tulisan jawi di sekolah, Radzi berkata, kementeriannya akan memperhalusi semula perkara berkaitan inisiatif itu secara menyeluruh dan holistik.

Iklan

"Buat masa ini, keputusan jemaah menteri sebelum ini dikekalkan," katanya.

Radzi berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) setelah diminta menyatakan pendirian terhadap pengenalan jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Sebelum ini, Kabinet mengekalkan keputusan untuk meneruskan pembelajaran tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu kepada murid Tahun Empat di sekolah vernakular namun perlu mendapat persetujuan PIBG serta ibu bapa.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas Kabinet sekali lagi membincangkan mengenai perkara berkenaan pada 14 Ogos tahun lalu.