Projek rintis serap jawatan guru KAFA dipinda tahun depan

Iklan
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR - Inisiatif pelaksanaan projek rintis pembelajaran Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini terpaksa dipinda pada tahun seterusnya susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif diusahakan kerajaan terdahulu itu sedang giat dijalankan pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi merealisasi usaha menyerap jawatan guru-guru KAFA.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya sebagaimana kita ketahui, proses (projek rintis KAFA) giat dijalankan dengan langkah pertama yang kita lakukan adalah kita akan tengok sejauh mana permasalahan guru KAFA, kita akan senarai dan buat (penyelesaian) satu persatu terlebih dahulu.

"Kerjasama ini dilakukan bersama KPM dan JPA, namun Projek Rintis KAFA tahun 2020 terpaksa dipinda pada tahun seterusnya susulan Covid-19," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) pada persidangan Dewan Rakyat ke-14 hari ini.

Iklan

Fuziah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta Zulkifli memberi penjelasan mengenai apakah ada penetapan unjuran dari segi garis masa ke arah penarafan guru-guru KAFA termasuk usaha menyerap jawatan mereka kepada status kekal.

Fuziah turut menegaskan pelaksanaan projek rintis KAFA bermula tahun 2020 sehingga tahun 2022 amat penting bagi membolehkan masa hadapan sejumlah 35,000 guru KAFA terbela.

Iklan

Sementara itu, Zulkiflli menegaskan, kerajaan amat komited dan prihatin terhadap guru-guru KAFA dengan segala usaha ke arah memperkasakan mereka akan terus dilaksanakan secara berfasa.

Menurutnya, antara usaha keprihatinan itu termasuklah menaikkan elaun guru KAFA sebanyak RM100, menjadikan elaun mereka kini sebanyak RM1,000 sebulan.

"Kenaikan elaun ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM481,593,000 kepada 35,000 guru KAFA seperti diluluskan dalam Belanjawan 2020.

"Jumlah ini termasuk jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua guru.

"Pemerkasaan guru-guru KAFA akan terus menjadi komitmen utama kerajaan Perikatan Nasional supaya institusi KAFA dan pendidikan Islam akan terus dilihat bermutu serta mampu menghasilkan alim ulama profesional dan menyumbang untuk ummah," katanya sewaktu menjawab pertanyaan lisan daripada Sabri Azit (Pas-Jerai) hari ini.