Polis bongkar sindiket tipu pelaburan i-Rakyat Trade

Iklan
Polis merampas kenderaan mewah dalam serbuan di sekitar Lembah Klang kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pelaburan dalam bidang minyak dan gas di peringkat antarabangsa dengan pulangan lumayan kepada pelabur. Itu janji manis sindiket pelaburan online i-Rakyat Trade yang berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang kelmarin.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, operasi sepasukan JSJK Bukit Aman yang bermula pada jam 5 petang di Sri Petaling, Dang Wangi dan Jalan Klang Lama itu berjaya memberkas 10 individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun.

Iklan
Iklan

"Serbuan ini telah merampas pelbagai barang seperti komputer riba, telefon bimbit, jam tangan mewah, sim kad serta mata wang asing dan ringgit.

"Polis turut menyita enam buah kenderaan antaranya jenis Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Lamborghini, Toyota Vios dan Mercedes," katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Iklan
Saiful Azly (dua dari kanan) menunjukkan antara rampasan barang susulan penahanan 10 suspek sindiket pelaburan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang kelmarin.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak Mac lalu itu adalah dengan menawarkan empat pakej pelaburan iaitu gold pakej, diamond pakej, emerald pakej serta platinum pakej yang mana mangsa diminta melaburkan wang serendah RM800.

Tambahnya, sindiket menjanjikan pulangan selepas dua hari dengan nilai berganda mencecah RM54,000 bergantung kepada pakej.

Iklan

Malah, bagi menarik minat mangsa, sindiket juga menawarkan hadiah lumayan berupa kereta mewah, pakej pelancongan serta barangan elektrik.

Mengulas lanjut, polis percaya ada ahli sindiket terbabit juga berasal daripada sindiket penipuan gores dan menang.

Antara barang yang dirampas susulan penahanan 10 suspek sindiket pelaburan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang kelmarin.

"Soal siasat juga mendapati suspek yang berperanan sebagai penyelia menerima gaji berjumlah RM10,000 manakala ejen memperoleh gaji RM4,000 sehingga RM5,000," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini, polis telah menerima 22 laporan daripada mangsa dengan keseluruhan kerugian kira-kira RM200,000.

Tegasnya, kesemua suspek telah direman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tindakan juga akan diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.