'Ahli Parlimen janganlah perangai macam budak baru sekolah'

Iklan
Antara suasana kecoh di Dewan Rakyat.

KOTA BHARU - Wakil-wakil rakyat yang berdebat di Parlimen seharusnya menunjukkan rasa hormat pada Dewan Rakyat selain berhujah dengan lebih matang terutamanya melibatkan isu rakyat.

Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, tindakan ahli Parlimen yang dilihat bertindak kebudak-budakan dalam Dewan Rakyat menggambarkan keperibadian yang tidak positif pada mata masyarakat.

Iklan
Iklan

"Ahli-ahli Parlimen ini perlu matang dan tunjuk teladan yang baik sebagai pemimpin pada rakyat jelata. Masalahnya ada ahli Parlimen berperangai macam budak-budak baru sekolah.

"Tidak keterlaluan saya rasa kalau kerajaan boleh anjurkan kursus untuk mereka semua faham mengenai peraturan mesyuarat di Parlimen," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan
Dr Rusdi Omar

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di persidangan Dewan Rakyat beberapa hari lalu melibatkan pelantikan Speaker yang baharu.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, selain itu, perkara yang paling ketara yang dapat dilihat ialah penghujahan yang menggunakan bahasa Inggeris tanpa meminta sebarang keizinan.

Iklan

Menurutnya, apabila ahli Parlimen ini bertindak berhujah dalam keadaan beremosi, maka mereka sesekali akan 'terlupa' dengan peraturan yang perlu dipatuhi termasuklah penggunaan bahasa Inggeris dan sebagainya.

"Ada perkataan yang tidak boleh kita tukar ke bahasa Melayu, memang betul. Tapi kita semua telah diberitahu bagaimana cara untuk kita menggunakannya semasa berhujah, minta izin dan sebagainya. Bukan tidak boleh guna langsung.

"Peraturan dalam Parlimen mereka kena ikut. Jangan bercakap ikut sedap saja," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga boleh menyiarkan persidangan Dewan Rakyat secara langsung supaya rakyat boleh tengok dan menilai sendiri pemimpin yang mereka pilih atau akan dipilih pada pilihan raya akan datang.

"Ahli Parlimen juga sepatutnya menggunakan Dewan Rakyat untuk berhujah mengenai hak dan kebajikan rakyat, masalah rakyat bukan hanya berhujah dan berdebat tunjuk hebat dan ego masing-masing," katanya.