Wanita maut dalam nahas dua kenderaan

Iklan
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM76, Jalan Kuantan-Segamat di sini pagi tadi. - Foto ihsan bomba

KUANTAN - Seorang wanita maut selepas kereta dinaiki bersama tiga yang lain terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 76, Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa Jum Kamariah Mamat, 41, dari Felda Keratong 9, Muadzam Shah meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Pemandu kereta jenis Proton Wira, Salleh Long, 66, dan dua lagi penumpang, Mamat Daud, 64, dan Nor Katijah Mamat, 30, parah manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda, Tan Tian Chin, 60, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Razli Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu kontraktor dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kampung Runchang.

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian kereta jenis Proton Wira dinaiki empat mangsa itu juga dari arah yang sama.

"Ketika sampai di tempat kejadian, pemandu Ford Ranger berhenti dan memberi lampu isyarat untuk masuk simpang kanan ke Kampung Runchang.

Iklan

"Kereta Proton Wira yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut," katanya.

Mohd Razli berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

"Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini dibantu anggota dari BBP Muadzam Shah ke lokasi untuk bantuan menyelamat.