GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar kolej dituduh membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan pada 10 Julai lalu di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.
M Santhiea, 18, dituduh di Wad D (Wad Bersalin), Hospital Pulau Pinang kerana masih menerima rawatan selepas melahirkan bayinya pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan di hadapan Majistret, Nur Fadrina Zulkhairi tadi.
Yazid ketika ditemui di pekarangan HPP berkata, mahkamah telah memberi tempoh sebulan untuk mendapatkan laporan patalogi.
Bagaimanapun, teman lelakinya dibebaskan dengan jaminan polis dan dijadikan saksi pendakwaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi baru dilahirkan maut dicampak dari tingkat 13
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru di sini pada jam 8.25 pagi, 10 Julai lalu.
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kekasih kes campak bayi direman
Terdahulu semasa prosiding, empat peguam yang mewakili tertuduh, RSN Rayer; S Meharaj, S Satish dan T Turuvandran memohon anak guam mereka diikat jamin.
Bagaimanapun, mahkamah berpendirian setakat ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan dan mahkamah akan merujuk ke Mahkamah Tinggi untuk permohonan tersebut.
Kes ditangguhkan hingga 14 Ogos depan untuk sebutan semula.
Sementara itu, Rayer berkata, tertuduh kelihatan lemah dan tidak bermaya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan maut dipercayai dicampak oleh ibunya dari tingkap tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam di sini.
Kejadian itu disedari penduduk pangsapuri berkenaan kira-kira jam 8.18 pagi tadi selepas terdengar dentuman kecil di laluan parkir di tingkat 4 pangsapuri setinggi 25 tingkat tersebut.
Susulan itu, seorang pelajar kolej bersama teman lelakinya yang juga berusia 18 tahun ditahan pada hari sama di lokasi berlainan untuk membantu siasatan.
Remaja perempuan ditahan di rumahnya iaitu lokasi kejadian manakala lelaki terbabit di rumahnya di Jalan Penawar, Jelutong.