MAKASSAR - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang mengancam mahu meletupkan sebuah restoran makanan segera, McDonald's di daerah Panakkukang, Makassar, Sulawesi Selatan semalam.
Jurucakap Polis, Senior Komisoner Ibrahim Tompo berkata, suspek yang berusia 35 tahun dan hanya dikenali sebagai MH itu didakwa masuk ke dalam premis itu pada petang Isnin dan memberitahu kakitangan bahawa dia akan mengebom premis tersebut.
Iklan
Iklan
"Dia menjerit di dalam kedai mengatakan bahawa Itali dalang wabak koronavirus (Covid-19) dan McDonald's jenama dari negara itu, jadi dia mahu mengebomnya," katanya.
Katanya, selepas mengakibatkan panik dalam kalangan pelanggan dan kakitangan, lelaki itu kemudian bertindak meninggalkan restoran itu dengan menunggang sebuah motosikal.
Polis kemudian menahan MH selepas melihat rakaman kamera litar tertutup di restoran tersebut.
Difahamkan, MH ditangkap di sebuah masjid di Jalan Urip Sumoharjo, di ibu kota Makassar.
Ibrahim menambah, semasa siasatan MH turut memberitahu polis bahawa dia mengancam mahu meletupkan restoran itu kerana dia benci jenama asing. - Agensi