Remaja 22 tahun didakwa memiliki senjata api

Iklan
Glock 19 Gen 2 - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas tiga pertuduhan memiliki pistol dan peluru selain melepaskan tembakan di satu jalan tertutup di Cyberjaya.

Tertuduh, Aidill Irfan Z Sukri, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Normaizan Rahim sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Aidill Irfan didakwa memiliki satu pistol Glock 19 Gen 4, tanpa lesen di tingkat tujuh, Ampang Putra Residensi, Jalan Ampang Putra 6, pada 1.10 pagi 2 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sebanyak 24 butir peluru Amunisi Kaliber 9MM tanpa lesen di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali bagi setiap pertuduhan.

Bagi tuduhan ketiga pula, dia didakwa melepaskan tembakan di satu tempat yang tidak dibenarkan secara bertulis oleh ketua pegawai polis, di jalan tertutup berhampiran persimpangan Jalan Persiaran Harmoni, Cyberjaya jam 6 petang pada sekitar bulan November 2019.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak melebihi setahun, atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 43 Akta Senjata 1960.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala peguam Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, yang mewakili tertuduh memohon jaminan tidak melebihi RM5,000.

"Jaminan dikurangkan adalah atas alasan untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah selain dia masih menganggur dan seorang belia,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September untuk sebutan kes.- Bernama