PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berjaya menjual 227,243 unit kenderaan pada 2018, angka tertinggi dalam sejarahnya dan kini menyasarkan peningkatan jualan sebanyak empat peratus kepada 231,000 unit menjelang akhir 2019.
Sasaran pencapaian itu dijangka dipacu oleh prestasi model terlaris, Myvi serta kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, Aruz, kata pengeluar kereta itu dalam satu kenyataan hari ini.
Myvi merupakan model terlaris Perodua pada 2018 dengan sejumlah 82,122 unit didaftarkan daripada tempahan sebanyak 117,844 unit pada tahun sama.
Malah, sejak pelancarannya pada November 2017 sehingga sekarang, pendaftaran kenderaan Myvi berjumlah 91,500 unit manakala tempahan mencecah 147,000 unit.
Model Axia muncul peneraju segmen dengan jualan sebanyak 70,821 unit dan diikuti Bezza (49,911 unit) dan Alza (24,389 unit) pada 2018.
"Perodua menyasarkan untuk meningkatkan jualannya sebanyak empat peratus pada tahun ini, bukan sahaja bagi memperkukuh jenama tetapi akan turut membantu perkembangan industri automotif tempatan yang dijangka sedikit tahun ini," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan itu.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 0.21 peratus kepada 600,000 unit tahun ini berbanding 598,714 unit pada tahun lepas.
"Bagi Perodua, Myvi dijangka akan terus popular tahun ini manakala bagi Aruz, pihak kami telah menerima tempahan hampir 5,700 unit sejak dibuka pada 3 Januari lepas.
"Angka itu dilihat sebagai menggalakkan memandangkan sasaran jualan kami terhadap Aruz adalah 2,500 unit sebulan,” katanya.
Zainal berkata, Perodua juga dijangka meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20 peratus daripada RM5 bilion pada 2018 kepada RM6 bilion, tahun ini.
Ia selaras dengan jangkaan permintaan pada 2019 dan secara langsung dapat memberi manfaat kepada pembekal automotif tempatan, kata Zainal. - Bernama