Perak perkenal wayang pandu masuk pertama di Malaysia

Iklan
Ahmad Faizal (dua, kanan) bersama Nolee Ashilin (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail pada pelancaran SINI-DRIVE malam tadi.

IPOH - Perak menjadi negeri pertama memperkenalkan wayang pandu masuk dikenali SINI-DRIVE yang merupakan pertama di Malaysia.

Tayangan menerusi paparan skrin di dataran Downtown Meru Raya itu dibuka kepada umum bermula esok dengan kapasiti 70 kenderaan dikendalikan sepenuhnya syarikat berkaitan kerajaan, Perak Corporation Berhad (PCB).

Iklan
Iklan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu digerakkan bagi menghidupkan kembali aktiviti pelancongan disamping menjadi tarikan baharu pengunjung ke negeri ini.

"Saya gembira apabila PCB menunaikan janji untuk terlibat sama dalam usaha majukan industri pelancongan dengan menyediakan fasiliti SINI-DRIVE ini.

Iklan

"Kalau dulu saya lihat orang di Amerika tonton wayang dalam kereta dan waktu kanak-kanak pula saya membesar dengan wayang pacak oleh Jabatan Penerangan.

"Kali ini suasana begini dapat kita kembalikan, jadi saya ajaklah seluruh rakyat Perak dan yang berada di luar untuk sama-sama datang ke Ipoh dan meluangkan masa bersama keluarga menonton dalam kereta, ini satu pengalaman baru yang tentu menyeronokkan," katanya ketika melancarkan SINI-DRIVE di sini malam tadi.

Iklan

Menurutnya, ilham tontotan wayang secara pandu masuk itu datang daripada pengalaman negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

"Dalam tempoh PKP, kita perlu menjaga jarak sosial, maka datanglah idea untuk berhibur dan menonton filem melalui pandu masuk seperti ini.

"Saya gembira apabila ia dapat direalisasikan dan menjadi yang pertama di Malaysia, tetapi pihak penganjur perlulah jaga tatasusila pengunjung agar tidak berlaku perkara tidak baik pula di sini," katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, SINI-DRIVE berpotensi menjana dan merancakkan ekonomi setempat sejajar dengan seruan kerajaan negeri dalam kempen #TravelPerakLah yang telah dilancarkan baru baru ini.

Katanya, pengunjung yang datang dari luar Bandar Meru Raya boleh memilih untuk menginap di Hotel Casuarina @ Meru serta menikmati juadah yang enak di Labu Sayong Signature.

"Di sebelah petang, pengunjung boleh beriadah di Bulatan Sultan Azlan Shah dan pada sebelah malam pula, boleh menonton filem di SINI-DRIVE," katanya.

SINI-DRIVE akan beroperasi setiap malam kecuali Isnin dengan tawaran pakej harga antara RM36 hingga RM42 bagi satu kenderaan.

Tempahan tiket secara dalam talian juga boleh dibuat menerusi www.sini-drive.com.my.

Pada 9 Julai lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.