TAPAH - Polis berjaya menemukan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang lebih 12 jam di kawasan ladang sawit, Jalan Loji Air, Bukit Temoh di sini semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa, M Ganesan, 48, digerakkan dengan melibatkan kekuatan enam pegawai dan 26 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi mencari mangsa yang kudung tangan kanan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada ibunya berusia 72 tahun.
Menurutnya, maklumat awal diterima mendakwa mangsa yang keluar rumah sejak jam 9 pagi telah ditinggalkan sendirian di ladang terbabit selepas dibawa oleh seorang lelaki dengan menaiki pacuan empat roda.
"Bagaimanapun, polis berjaya mengesan lelaki tersebut dan hasil temubual menyatakan dia dihubungi mangsa pada waktu pagi yang meminta membawanya ke ladang berkenaan untuk minum minuman keras.
"Mangsa bersama lelaki tersebut menuju ke kawasan yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari jalan utama dan berada di sana sehingga petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mangsa ditinggalkan sendirian setelah lelaki tersebut turun untuk mendapatkan bantuan apabila kenderaan mereka tersangkut akibat jalan licin selepas hujan lebat.
"Berpandukan maklumat itu, pasukan awal penyelamat berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat tetapi lemah kerana tidak makan sejak awal pagi.
"Operasi lanjut digerakkan pada jam 11.30 malam dengan pasukan penyelamat perlu berjalan sejauh 2km bagi mendapatkan mangsa. Mangsa dibawa turun dengan pengusung,” katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan dan operasi ditamatkan pada jam 1.15 pagi.