DUN Slim: PH Perak tidak terima kenyataan rasmi PKR

Iklan
Dr Abdul Aziz

IPOH - Pakatan Harapan (PH) Perak tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat berhubung peletakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada Barisan Nasional (BN) pada Rabu lalu.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, perkara itu masih belum dibincangkan meskipun parti itu menerusi Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sudah membuat kenyataan lebih awal untuk meletakkan seorang calon di kerusi tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita ada berbincang tetapi tidak secara spesifik, ada juga mengatakan kemungkinan PKR letak calon namun setakat ini belum ada ketetapan rasmi lagi dan saya sendiri pun tidak menerima apa-apa pengesahan daripada Keadilan Pusat mengenai perkara itu.

"Kenyataan sebelum ini mungkin sentimen Farhash sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma DAP Perak di sini hari ini.

Iklan

Bagaimanapun menurutnya, PH Perak akan bergerak sebagai satu pasukan agar seluruh jentera dapat ditumpukan bagi memastikan tiada laluan mudah parti lawan untuk menang.

"Kita serius bincang untuk letak calon di kerusi itu kerana sebelum ini PH diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan keadaan sekarang, saya tidak rasa Bersatu akan letak calon.

Iklan

"Yang pasti tidak akan ada lebih dari satu calon PH di situ," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim.

Penentuan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengenai kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, situasi kini jelas lebih menjurus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membentuk kerajaan lebih stabil dan selesa.

"Jangkaan PRK itu sudah tentu disebabkan kematian wakilnya di situ tetapi susah kita hendak nafi terutama apabila ramai yang bercakap mahukan PRU," katanya.

Pada PRU14 lalu, Allahyarham Mohd Khusairi menang di kerusi DUN Slim menewaskan calon Bersatu dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR Perak sedia letak calon DUN Slim

'Tak manis bincang kekosongan kerusi sekarang'