IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangka pelbagai strategi dalam menjadikan Ipoh antara bandar terbersih negara selari dengan perancangan pembangunan bandar raya pintar menjelang 2030.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya kini meneliti konsep yang sedia ada dengan menambah baik pelbagai kemudahan termasuk aset dan sumber manusia dalam merealisasikan usaha itu.
"Sistem 20 tahun lalu sudah banyak yang berubah dan kita (MBI) menerima (diiktiraf) bandar terbersih tahun 1960-an dan kita lihat sekarang, sudah banyak konsep telah diswastakan.
"Jadi, kita merancang menggantikan aset-aset seperti lori contohnya, kerana ada aset kita sudah berusia 15 hingga 20 tahun. Saya rasa kalau aset sudah ketinggalan ia akan menjadi masalah dalam kerja. Kita sekarang ke arah penggantian aset dan kemudian ke arah menambah anggota.
"Kita juga sudah mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Ipoh bandar pintar dan apabila kita sudah ke arah digital, sumber manusia dan aset baharu, saya rasa kita boleh menuju menjadi bandar raya terbersih alaf baru," katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian Sijil kepada Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Pengkalan Permai yang diiktiraf kampung contoh Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak Samun Sendiri (3P3S Kendiri) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Rumaizi berkata, penduduk diminta mematuhi Notis Kacau Ganggu di kediaman masing-masing dengan membersihkan semak samun di kediaman masing-masing.
Katanya, menerusi program 3P3S Kendiri ia bertujuan memberi kesedaran akan tanggungjawab warga kota memupuk amalan penjagaan kebersihan persekitaran.
"Program ini sebenarnya dapat mengurangkan kejadian demam denggi, mencegah kemalangan melibatkan haiwan liar dan menjimatkan kos pengurusan dan perkhidmatan di pihak majlis.
"Kaedah libat urus dan memperkasakan komuniti menjadi tunjang kepada program ini serta menjadi titik tolak dalam mengubah mentaliti warga kota menjaga kebersihan," katanya.