20,000 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

Iklan
Mohd Redzuan menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada Pegawai APM Daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain sambil diperhatikan Roslan (tiga dari kanan) di Hotel Perdana hari ini.

KOTA BHARU - Dianggarkan sejumlah 20,000 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan dalam proses untuk dibawa pulang oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, usaha itu akan dilakukan secara berperingkat kerana melibatkan perkara rumit seperti undang-undang negara luar selain menelan kos perbelanjaan yang besar.

Iklan
Iklan

"Mengikut laporan terkini ketika penularan Covid-19 ini, ramai rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara dianggarkan mencecah 20,000 individu.

"Kita sedang berbincang pada peringkat kementerian untuk mendapatkan data dan memperhalusinya kerana masih ramai berada di negara seperti Amerika Syarikat, Timur Tengah dan India,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat bersama Pengarah dan Pegawai Negeri Zon 5 (Kelantan, Terengganu dan Pahang) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Hotel Perdana di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Iklan

Mohd Redzuan berkata, kerajaan menguruskan perjalanan balik rakyat yang terkandas berdasarkan peruntukan yang ada bagaimanapun memperhalusi kos kerana tidak mahu kesemuanya dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.

"Kita sudah ada sejumlah bajet, tidaklah terlalu banyak tetapi cukup untuk membawa warga Malaysia pulang. Dalam 20,000 itu kita hendak pastikan mereka ditaja dan dibiayai oleh agensi. Contohnya kos balik pekerja dibiayai oleh majikan yang menghantar mereka bekerja di luar.

"Pelajar yang tamat pengajian pula menjadi tanggungjawab penaja untuk membawa mereka pulang manakala Kementerian Pengajian Tinggi akan memastikan mereka tidak dilengah-lengahkan untuk dibawa pulang,” katanya.

Katanya, segala aspek dan keadaan semasa wabak turut diambil kira selain memastikan sesebuah negara itu membenarkan penerbangan keluar masuk bagi melakukan usaha membawa pulang rakyat.

Akhbar hari ini melaporkan seramai 107 individu yang terdiri daripada 62 jemaah tabligh, 34 gabungan kakitangan kedutaan Malaysia, rakyat Malaysia dan baki 11 orang krew Malindo Air yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada jam 6.31 pagi ini.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, sejumlah 12 anggota dan pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 bagi APM Zon Timur, 14 penerima pangkat serta watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM yang terdiri daripada ahli akademik serta sahsiah.