KUALA LUMPUR - Permintaan peniaga Pasar Raja Bot supaya tempoh operasi perniagaan dilanjutkan menjelang Hari Raya Aidiladha akan dipertimbangkan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat keputusan itu selepas bertemu peniaga.
"Kalau ada pematuhan yang baik, saya tiada masalah langsung untuk benarkan tempoh niaga dipanjangkan sedikit.
"Mudah-mudahan dengan kemudahan itu, kutipan atau hasil jualan peniaga dapat meningkat," katanya selepas sesi walkabout di Pasar Raja Bot hari ini.
Terdahulu, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pasar Raja Bot beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 6 petang.
Bagaimanapun, jadual operasi itu diubah kepada jam 6 pagi hingga 2 petang bermula 1 Jun lalu dengan dengan penetapan hari Isnin ditutup untuk disinfeksi sebagai langkah pencegahan dan kawalan wabak koronavirus (Covid-19).
Dalam perkembangan sama Annuar berkata, DBKL dalam usaha menaik taraf pasar awam di Kuala Lumpur ke arah penyediaan fasiliti yang lebih baik.
Berkongsi lanjut Annuar berkata, projek naik taraf di Pasar Raja Bot berlaku sedikit kelewatan disebabkan kerumitan dihadapi kontraktor susulan projek dilaksanakan dalam keadaan aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa.
"Ini menyebabkan pelaksanaan projek dari satu fasa ke fasa seterusnya berlakunya kesulitan.
"Saya sudah melawat dan berjumpa kontraktor. Saya minta untuk mereka atur jadual betul-betul supaya (projek) dipercepatkan. Jika perlu kerja (dijalankan) pada waktu malam, kita akan benarkan," katanya.