BAGAN SERAI - Seorang pekerja pembersihan dilaporkan meninggal dunia ketika bertugas memotong rumput di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Siakap di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, mangsa, Mohammad Huda Ismail, 47, dilihat sedang berehat di kaki lima bangunan sekolah sebelum rebah secara tiba-tiba.
Iklan
Iklan
Pihak sekolah yang dimaklumkan kejadian itu segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
Bagaimanapun mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak perubatan yang tiba di lokasi kejadian sebelum jenazah mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian yang menimpa mangsa.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung.
"Tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.