SHAH ALAM - Sebanyak 25 premis makanan di Klang dan Kuala Selangor diarah tutup serta-merta oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan pada Khamis lalu.
Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, sebanyak 162 restoran dan kedai makanan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dijalankan.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 20 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan lima premis ditutup mengikut Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Tindakan penguatkuasaan ini juga tertumpu kepada Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
"Kesemua premis yang diarah tutup mengikut Akta Makanan 1983 diberi tempoh selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, manakala premis yang tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Sha'ari berkata, operasi berkenaan diselaraskan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, PKD Kuala Selangor serta anggota polis.
"Dalam operasi berkenaan, kita turut mengeluarkan 146 notis membabitkan pelbagai kesalahan terhadap pemilik dan pekerja premis dengan nilai kompaun sebanyak RM 101,450," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 10 notis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga dikeluarkan kepada orang ramai kerana merokok di premis makanan dengan nilaian tawaran kompaun RM 2,500.