KUALA SELANGOR - Dua beradik yang videonya tular selepas menemui buaya 'bersidai' di tebing Sungai Selangor di Kampung Kuantan di sini mengakui sering melihat kelibat reptilia berkenaan ketika keluar memancing udang galah.
Halimah Idris, 62, dan adiknya, Hashimah Idris, 58, yang menjadikan sumber pendapatan menangkap udang galah sebagai punca rezeki sudah lali dengan kelibat 'sang bedal' di kawasan sekitar sungai itu sejak berusia belasan tahun.
Halimah berkata, buaya pelbagai spesies sering kelihatan di sungai itu namun tidak pernah menimbulkan ancaman kepada manusia.
"Buaya di sini tidak pernah mengganggu penduduk, malah sepanjang pengetahuan saya tidak pernah ada kes pemancing atau pelancong yang menaiki bot diserang buaya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Halimah bagaimanapun berkata, pemancing atau pelancong yang bertandang melihat keindahan kelip-kelip pada waktu malam tidak perlu risau kerana reptilia itu tidak mengganggu manusia.
"Janganlah apabila cerita penduduk jumpa buaya pelancong takut hendak ke sini yang merupakan tempat tarikan pelancong," katanya.
Sementara itu, Hashimah berkata, dia dan kakak serta lapan adik-beradiknya yang berasal di Kampung Tanjong Siam di sini sudah biasa memancing di Jajaran Sungai Selangor.
Katanya, dia juga kerap terserempak dengan reptilia itu beberapa kali, namun tidak pernah mengganggunya.
"Petuanya ialah apabila jumpa buaya timbul, kita kena beralah atau pergi memancing di tempat lain. Jika buaya timbul dan kemudian menyusur ke tempat lain, maka kita boleh terus memancing di kawasan itu," katanya.
Mengulas mengenai penemuan buaya itu, Hashimah berkata, reptilia yang ditemui pada jarak hanya 10 meter dari bot yang dinaiki mereka pada 15 Julai lalu mungkin dari spesies buaya katak.
"Buaya ini tidaklah terlalu besar seperti yang pernah saya temui sebelum ini kerana ciri fizikal buaya katak pendek dan gemuk.
"Antara spesies buaya yang terdapat di sungai ini dikenali dengan nama buaya katak, tembaga, nyolong (ekor panjang), hitam, kelabu dan buaya putih celoreng hitam," katanya.