SHAH ALAM - [VIDEO] Pesuruhjaya Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa (ICJ), Datuk Ambiga Sreenavasan tidak sepatutnya mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri supaya tidak mencabul hak golongan transgender.
Pendakwah, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam menyantuni golongan LGBT turut mempersoalkan kelayakan Ambiga sehingga boleh memberi peringatan sedemikian kepada Zulkifli.
"Siapa Ambiga dan apa jawatannya untuk mengingatkan Zulkifli. Ambiga perlu ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat.
"Tindakan Zulkifli selaku menteri agama dan kakitangan agama adalah kerana takutkan ALLAH SWT daripada ancaman, ugutan dan peringatan Ambiga dan ICJ berkenaan isu transgender," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Hanafiah berkata demikian mengulas mengenai tindakan ICJ mengecam kenyataan Zulkifli yang memberi lesen penuh kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan kepada transgender.
Sementara itu, Mohamed Hanafiah berkata, setiap tindakan daripada undang-undang yang dilakukan oleh jabatan agama Islam terhadap golongan transgender adalah bertujuan untuk mendidik dan tiada sebarang unsur kezaliman.
"Undang-undang dan tindakan yang diambil tidak mempunyai unsur kezaliman dan ia adalah untuk tarbiah atau mendidik.
"Belum pun ada apa-apa tindakan selepas arahan dikeluarkan. Jadi tidak perlu bagi amaran. Sekiranya jabatan agama Islam ada melanggar sesuatu hak asasi manusia, buatlah laporan dan bicarakan. Bukan memperingatkan dengan menggunakan ICJ," katanya.
Sementara itu, pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung juga berpandangan bahawa tindakan Ambiga jelas bercanggah dengan undang-undang di negara ini.
"Ambiga menggesa kerajaan Malaysia patuhi undang-undang antarabangsa tetapi dia sendiri melanggar undang-undang negara. Aktivis transgender ini jelas bercanggah dengan undang-undang negara.
"Apakah selepas ini aktivis dadah dan pedofilia juga dipertahankan atas nama hak asasi? Yang betul kita pertahankan, yang salah kita betulkan. Jangan pula cuba menggubal sesuatu yang salah di sisi undang-undang agar ia nampak betul," tulis Firdaus di Facebook beliau.
Firdaus berkata, undang-undang untuk dipatuhi dan bukannya undang-undang patuh pada hawa nafsu dan agenda semata-mata.