MINGGU lalu akhbar ini melaporkan rangkaian media Al Jazeera berpangkalan di Qatar yang menafikan dakwaan dokumentarinya berdurasi 25 minit 50 saat berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown adalah tidak tepat. Dokumentari itu kini masih boleh ditonton oleh orang ramai di ruang siber.
Penafian ini merupakan jawapan Al Jazeera kepada teguran beberapa pihak di negara ini yang mendapati dokumentari itu ‘tidak tepat, tidak adil dan mengandungi maklumat salah’.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta penyiar tersebut meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana dakwaannya konon berlaku diskriminasi terhadap pekerja asing tanpa izin (PATI) itu adalah tidak benar.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menyatakan bahawa penyiar itu akan disiasat di bawah undang-undang negara mengenai hasutan, fitnah dan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi Malaysia.
Badan penyiaran itu menegaskan bahawa mereka sentiasa berpegang kepada etika kewartawanan yang profesional. Enam warga kerjanya (termasuk penerbit kanan, Drew Ambrose) kemudian dipanggil hadir untuk disiasat oleh PDRM di Bukit Aman. Mereka diiringi oleh tujuh peguam.
Kos
Pada masa ini, Jabatan Imigresen dan PDRM sedang mencari warga Bangladesh yang telah ditemu bual oleh penyiar itu dalam dokumentari tersebut.
Mengikut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Norhisham Murujan, dokumentari itu tidak tepat dari segi fakta dan situasi.
Pekerja asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ditunjukkan dalam dokumentari itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dalam tempoh kuarantin yang ditetapkan. Mereka yang kemudian disahkan negatif akan dihantar pulang ke negara asal mereka.
Mengikutnya lagi, laporan penyiar bahawa kebajikan PATI tidak dijaga dengan baik di negara ini adalah tidak benar. Hakikatnya, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan besar bagi mereka yang ditahan termasuklah kos penyediaan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan ketika dan sebelum pelaksanaan PKP.
Apa benarkah penyiar dokumentari itu telah bertindak secara profesional dan penuh beretika? Biarlah dokumentari itu sendiri menjawab.
Pada minit-minil awal dokumentari itu, penerbitnya Andrew Ambrose melontarkan soalan retorik kepada penonton: Is this the practical reality of dealing with a pandemic? Or is it racism? ("Apakah ini satu realiti yang praktikal untuk menangani pandemik? Atau adakah ia satu rasisme?”)
Secara sengaja soalan retorik itu dilontarkan untuk set the tone (menetapkan nada) dokumentari itu untuk penonton. Satu soalan retorik tidak memerlukan jawapan, kerana bukan jawapan yang dikehendaki oleh pihak yang bertanya. Niat sebenarnya adalah mengenakan bisa (sting) kepada pendengar dan penonton, supaya boleh merasakan bahawa kerajaan Malaysia bertindak secara tidak praktikal dan rasis.
Dari awal lagi, dokumentari itu sudah menzahirkan bias (sifat berat sebelah) dan rasa kurang senangnya dengan tindakan pihak berkuasa kita menangani PATI sewaktu PKPD.
Untuk memperkuatkan lagi tohmahnya bahawa apa yang pihak berkuasa lakukan adalah tidak praktikal serta rasis, beberapa minit kemudian dokumentari itu menggunakan suara latar warga Bangladesh (yang kini diburu polis) dalam bahasa Inggeris, yang mengatakan:"Kita melayan mereka macam binatang. Ini bukan cara kita melayan pekerja migran. Ini bukan cara kita melayan seorang manusia.”
Menghina
Yang dimaksudkan oleh warga Bangladesh dengan perkataan"Kita” itu adalah kerajaan Malaysia. Maka tidak hairanlah kenapa Ketua Polis Negara ada meminta warga Bangladesh itu segera tampil untuk membantu polis menunjukkan siapa dan bila kerajaan telah melayan PATI sebagai haiwan.
Pada kira-kira minit ke-4.16 dokumentari itu, seorang PATI warga Pakistan pula berkata,"Mereka tidak menghormati kita sebagai manusia.”
Anehnya, dokumentari itu sendiri mengakui bahawa jumlah pekerja asing yang sah di negara ini telah mencecah lebih 2.2 juta, manakala jumlah PATI melebihi empat juta orang.
Anehnya juga, dokumentari itu ada memetik kenyataan Ismail Sabri bahawa PATI kini diberi amnesty (pengampunan) untuk membolehkan mereka tampil ke depan supaya boleh disaring dan dipastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, dan selepas itu boleh dibenarkan pulang ke negara mereka masing-masing.
Dalam kes yang ekstrem, apa yang boleh berlaku kepada PATI yang didapati positif Covid-19 adalah mereka akan dikuarantin.
Pada minit ke-10.5 dokumentari itu, warga Bangladesh yang diburu polis itu berkata lagi (setelah tidak berjaya menemui kawannya di sebuah pusat tahanan Jabatan Imigresen):"Ini satu tindakan penuh rasis. Ia jelas satu tindakan menghina manusia.”
Walaupun selepas itu dokumentari ini ada memberi gambaran yang positif mengenai negara ini (menceritakan situasi terkini di pasar borong tanpa kehadiran PATI, landskap kehidupan pendatang asing dari Indonesia), pada minit-minit terakhir dokumentari itu, penerbitnya kembali kepada kecenderungan asalnya mengutuk Malaysia dengan membuat kesimpulan,"Di negara yang bergelut dengan hubungan kaum, orang asing terpaksa membayar harganya.”
Hujung minggu lalu saya minta pandangan beberapa sahabat saya dalam kalangan peguam, ahli akademik, ahli profesional dan pesara kerajaan mengenai dokumentari tersebut.
Seorang pensyarah universiti berkata:"Macam ada malice (niat jahat) oleh penyiar tersebut untuk memburukkan negara ini.”
Ada sahabat yang berkata Al Jazeera pernah mengalami masalah di beberapa negara pada masa lalu, dan ada sahabat lain berkata dokumentari itu ‘one-sided, sensationalising’ (sebelah pihak sahaja, cari sensasi).
* Profesor Datuk Salleh Buang ialah pakar Undang-undang