SHAH ALAM - Bersatu Selangor sudah mengenal pasti senarai calon untuk bertanding pada PRK Dun Semenyih nanti untuk diserahkan kepada kepimpinan pusat bagi dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, buat masa ini senarai calon berpotensi atau ‘boleh menang’ itu tidak dapat diumumkan lagi kerana pihaknya perlu membuat saringan lebih teliti.
Iklan
Iklan
Katanya, Bersatu perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi Dun itu berikutan parti itu telah bertanding di kerusi yang sama pada PRU14 lepas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan Selangor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian alat muzik kepada beberapa sekolah terpilih di Selangor di sini hari ini.
PRK yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung, dijadualkan berlangsung pada 2 Mac ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.
Pada PRU14, Allahyarham yang mewakili Bersatu memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi. - Bernama
Artikel Berkaitan