TELUK BAHANG - Sebanyak 562 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negara akan beroperasi semula Ogos ini selepas tidak beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, ketika ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuka semula semua PDK.
"Jumlah keseluruhan PDK di seluruh negara adalah 562 dengan jumlah pelatih hampir 21,000. Semua PDK ini akan dibuka bulan depan.
"Sudah pasti ada SOP tertentu perlu diikuti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan pada waktu ini. Bagaimanapun, kita tengah mendapatkan kelulusan daripada pihak KKM," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.
Sementara itu, menurutnya, terdapat permintaan kenaikan elaun untuk petugas sukarelawan PDK di seluruh negara yang ketika ini dibayar RM800 sebulan.
"Maklum balas ini kita terima, malah beberapa mesyuarat bersama agensi berkaitan juga dijalankan. Perkara ini akan dibawa ke Kementerian Kewangan untuk diperhalusi kerana ia bukannya gaji, tetapi hanya elaun," katanya.
Terdahulu, Rina menyampaikan replika cek bantuan berjumlah RM3.4 juta kepada 25 PDK Pulau Pinang di sini.
Mengulas mengenai bantuan itu, Rina berkata, penyerahan bantuan tersebut untuk menampung pemberian elaun pelatih kurang upaya (OKU), saguhati penyelia dan petugas, sewaan premis serta utiliti.
"Bantuan kewangan ini adalah untuk memastikan program dan aktiviti harian PDK berjalan lancar termasuk program pemulihan serta pembangunan dengan penglibatan aktif keluarga dan masyarakat setempat.
"Di Pulau Pinang, kita mempunyai 32,421 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.