TUMPAT - Debaran akad nikah belum reda tiba-tiba dikejutkan kehadiran abang baju merah.
Tetamu istimewa itu, posmen menjadikan perkahwinan Mohamad Fairul Adha Che Kamaruddin, 26, dengan Nur Syafini Afni Mohd Yatim, 25, di Kampung Alor Pasir, di sini pada Sabtu lalu unik.
Nur Syafini Afni berkata, posmen datang selepas sejam majlis akad nikahnya.
"Ketika itu saya sedang bergambar di atas pelamin, tiba-tiba posmen datang meminta tandatangan penyerahan satu bungkusan.
"Memang terkejut kerana tidak menjangka pembelian tudung secara online sampai pada hari bersejarah saya," katanya.
Menurutnya, dia turut mempelawa posmen itu makan namun ditolak kerana dia perlu cepat menghantar bungkusan ke tempat lain.
"Sebagai tanda terima kasih, saya bagi bunga telur, posmen ini memang seorang pekerja dedikasi.
"'Sebabnya dia serah sendiri bungkusan ini pada saya walau pun boleh saja diwakilkan kepada sanak-saudara di luar sana," katanya.
Foto perkahwinan pasangan ini tular di media sosial apabila ia memaparkan kehadiran seorang posmen.
Ia menarik perhatian netizen sehingga menerima lebih 13.1K ulang kicau (retweet) dalam tempoh 24 jam dimuat naik ke Twitter.