TULAR di media sosial seorang penternak kambing di Johor menawarkan seekor kibasy yang bernilai RM1,100 seekor tetapi hanya perlu membayar RM20.20 untuk individu istimewa bernama Ismail Ibrahim.
Syaratnya ia hanya untuk ibadat korban dan mestilah anak Johor dan beralamat tempat tinggal di Johor. Begitulah istimewanya ibadat korban sehingga golongan yang sedar akan kelebihannya berlumba-lumba untuk meraih ganjaran pengampunan dosa dan juga penyaksian di Hari Kiamat.
ALLAH SWT berfirman maksudnya"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah". (Surah Al-Kauthar Ayat 2). Nabi SAW bersabda"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (menyembelih binatang korban)".
"Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan mendapat reda Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan ibadah berkorban)". (Riwayat al-Tirmiziy).
Hukum melaksanakan ibadat korban ialah sunat muakkad mengambil sempena pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan Nabi Ismail AS yang kemudian ditukarkan dengan penyembelihan seekor kibasy.
Nabi Muhammad SAW juga turut berkorban dengan menyembelih kibasy atau kambing dan menjadi sunah untuk diikuti oleh umatnya zaman berzaman.
Oleh itu bersempena dengan ketibaan Zulhijjah umat Islam diajak menzahirkan tanda kesyukuran atas nikmat kesihatan, keselamatan dan keamanan yang dikecapi selama ini dengan turut sama melaksanakan ibadat korban.
Lagi pula jika dibandingkan dengan gaji dan pendapatan tahunan yang diperoleh hanya sekitar RM600-RM750 sahaja untuk satu bahagian lembu yang perlu dibelanjakan.
Sementara bagi yang berkemampuan boleh sahaja menyembelih kambing atau unta untuk diagihkan kepada fakir miskin dan masyarakat setempat.
Umat Islam diajak untuk tidak melepaskan peluang melaksanakan ibadat korban sebagai satu daripada aktiviti ibadat tahunan.
Bagaimanapun semua pihak diharap sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih berterusan di seluruh dunia.
Melalui cara ini masyarakat dapat menunjukkan rasa kesyukuran atas jasa bakti dan pengorbanan barisan hadapan yang telah bertungkus lumus siang dan malam.
Tunjukkan tanda terima kasih kepada pasukan perubatan yang telah merawat pesakit koronavirus (Covid-19) dan pihak berkuasa yang telah mengambil semua langkah perlu bagi mengelak pandemik Covid-19 menjadi ancaman kepada kesejahteraan negara.
Semoga pengorbanan nyawa, masa dan tenaga petugas barisan hadapan dibalas dengan ganjaran yang sempurna di sisiNya. Semoga yang terkorban dikalangan mereka juga ditempatkan di sisi hambaNya yang soleh atas bakti yang dicurahkan kepada negara.
Masyarakat juga diajak untuk terus sama-sama berkorban dengan mematuhi segala nasihat Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan bersama.
Usah alpa daripada memakai pelitup muka ketika di khayalak ramai dan mengamalkan penjarakkan sosial dengan sangkaan sudah selamat daripada wabak Covid-19.
Sedarlah betapa negara jiran dan negara-negara maju yang mempunyai fasiliti kesihatan terbaikpun masih lagi bergelut menangani penularan wabak ini. Terdapat juga negara yang terpaksa melaksanakan semula kawalan pergerakan seperti berlaku di Jepun dan Australia apabila wabak Covid-19 menyerang semula.
Dalam konteks yang sama umat Islam yang kembali dapat mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti ibadat dan majlis-majlis ilmu diharap terus mematuhi SOP ditetapkan.
Usah kerana seorang yang berdegil akhirnya seluruh kariah menanggung kepayahan apabila masjid terpaksa ditutup dan solat berjemaah sekali lagi dilarang.
Usah bersikap pentingkan diri sendiri dan rasai sedikit pengorbanan serta susah payah frontlines dengan sama-sama kita menjaga diri dan keluarga.
Kemungkinan ada yang merasa tidak selesa kerana perlu sentiasa memakai pelitup muka, kehadiran dihadkan mengikut keluasan masjid dan tidak bebas kerana terpaksa mematuhi norma baharu. Berdoalah agar semua ini segera berakhir dan keadaan kembali seperti sedia kala.
Dalam pada itu, golongan muda diingatkan tidak sampai mengorbankan masa muda dengan membazirkan masa bermain permainan dalam talian siang malam ataupun terlibat merempit sehingga terkorban pula dalam kemalangan jalan raya.
Bagi yang sudah mula bersekolah dan memulakan pengajian di pusat pengajian tinggi dinasihatkan bersungguh-sungguh menelaah pelajaran dan membuat persiapan awal untuk menghadapi peperiksaan supaya cemerlang dalam pelajaran.
Begitu pula golongan muda-muda diingatkan agara jangan sampai terkorban dek kerana runtunan hawa nafsu dan pergaulan bebas sehingga terlanjur berzina dan mengandung anak luar nikah.
Lebih keji lagi apabila ada yang sudah terlanjur sampai hati pula membunuh bayi yang tidak berdosa dengan membuang dilubang najis mahupun mencampakkan bayinya daripada tempat tinggi seperti dilaporkan media masa baru-baru ini.
Pasangan remaja yang terlanjur diingatkan tidak menambah dosa zina dengan membunuh kerana masih ada jalan keluar kepada masalah yang berlaku. Terdapat rumah-rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak di seluruh negara yang boleh dikunjungi untuk mendapatkan nasihat dan membetulkan kesilapan lalu.
Akhirnya hayatilah nilai pengorbanan sebenar dengan kembali mentaati segala peraturan agama dan perundangan negara. Syukuri segala nikmat kurniaan Ilahi dengan berkorban nyawa, wang ringgit, masa dan tenaga untuk kebaikan hidup di dunia dan di hari akhirat.
Ingatlah juga betapa huru-hara akhir zaman dan fitnah zaman dajjal lebih dahsyat dan menakutkan sehingga semua diajak bersedia dan berkorban apa sahaja untuk persiapan menghadapinya.
**Dr Mohd Ali Muhamad Don ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.