RAUB - Banjir kilat malam tadi mengakibatkan banyak barang keperluan dan perabot di Pusat Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Pengajian Islam As-Sakinah (Madinah) di Ulu Jeruas, dekat Sega rosak teruk.
Penasihat pusat tahfiz itu, Mohd Shahrizan Md Isa berkata, kejadian itu disedari selepas Subuh kerana pelajar tidak berada di asrama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Menurutnya, pusat tahfiz yang menempatkan 20 pelajar sejak dibuka tiga tahun lalu itu dipenuhi kesan lumpur dan barang berselerak.
Tambahnya, keadaan itu berlaku mungkin disebabkan hujan lebat malam semalam dan ia merupakan kejadian kali kedua selepas kali terakhir pada 2017 lalu.
"Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000 dan buat masa ini kami memerlukan sumbangan orang ramai untuk membaiki dan mendapatkan keperluan baharu terutama peralatan pelajar," katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank (556244010666) dan CIMB(8602959570) atas nama pusat terbabit.