Pemandu e-hailing ditahan dera anak cuba cari ibu kandung

Iklan

KAJANG - Seorang pemandu e-hailing ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes dera seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Sungai Jelok, di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek berusia 39 tahun itu merupakan bapa kandung mangsa dan remaja itu mendakwa diperlakukan sedemikian selepas keluar rumah dua hari sebelum kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"Mangsa mendakwa dicederakan oleh bapanya dengan merotan dan mencucuh colok yang masih terbakar pada bahagian kakinya pada 4 Julai lalu. Nenek mangsa yang tinggal bersama telah membawa cucunya ke pusat perubatan berhampiran untuk rawatan.

"Kemudian mangsa mendakwa dicederakan oleh bapanya dengan menggunakan rotan sejak empat tahun lalu," kata beliau menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, suspek memukul mangsa kerana mengesyaki remaja berkenaan keluar rumah untuk mencari ibu kandungnya selepas ibu bapanya itu berpisah sejak 2009.

Mangsa keluar dari rumah untuk berjumpa dengan rakannya, kelmarin dan mengadu dicederakan oleh suspek.

Iklan

"Rakan mangsa kemudian membawanya ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," kata beliau lagi.