PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Bangkok, Thailand, buat pertama kali mulai esok bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
"Ia adalah sebahagian daripada siri lawatan pengenalan sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei 2018,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.
Wisma Putra berkata, Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijadualkan membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha dalam lawatan itu.
Ia diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri Thailand yang bertanggungjawab terhadap isu-isu Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia, Jen Chatchai Sarikulya, untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala di samping saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama.
"Mesyuarat dengan anggota Persekutuan Industri Thailand turut disusun bagi membolehkan kedua-dua negara meneroka dan berbincang mengenai kemungkinan kerjasama berhubung perdagangan dan pelaburan,” menurut Wisma Putra.
Wisma Putra berkata, lawatan itu akan mengukuhkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama dengan Thailand dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pembangunan sosial, pemerkasaan wanita, pembangunan mampan, pendidikan dan pertanian.
Wan Azizah juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Bangkok pada hari Jumaat.
Wan Azizah akan diiringi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub serta Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Wisma Putra berkata, Malaysia dan Thailand terus menikmati kerjasama dua hala yang kukuh dalam pelbagai sektor.
Thailand adalah rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar dan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2017 menjangkau RM98.69 billion, dengan perdagangan di sempadan sahaja mewakili 60 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan. - Bernama