Genius tambah duit poket jual kuih pelik

Iklan

SEBENARNYA ada banyak cara untuk menambah duit poket lebih-lebih lagi buat suri rumah atau wanita bekerja yang tidak terkecuali berdepan kekangan kewangan selepas penularan wabak Covid-19.

Masakan tidak, ramai yang hilang pekerjaan dek penutupan premis kedai makan, lapangan terbang, pasar raya mahupun industri pelancongan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat bulan lalu.Tempoh PKP juga tidak kurang juga membuktikan kebolehan rakyat Malaysia yang serba boleh dalam aktiviti bercucuk tanam, masakan, bahkan juga dalam projek renovasi kediaman rumah.

Iklan
Iklan

Pun begitu, apa yang buat penulis terpegun ialah melihat kegigihan beberapa wanita yang genius mencari idea bernas demi menambah duit poket dengan menjual kuih-muih tradisional.

Sajian yang dijual bukan calang-calang apabila muncul nama kuih yang pelik-pelik dan jarang didengari. Jangan tidak percaya, ada yang menjual kuih tahi itik, perigi buta, ulat bulu bahkan che abas demam.

Iklan

Apa yang menariknya, ada kisah di sebalik nama kuih itu membuatkan penulis terus teruja untuk mencuba sendiri membuat di rumah. Sebagai contohnya, kuih ulat bulu dengan resipi mudah.

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan nama jelik yang diberikan sehingga membuatkan pelanggan berfikir dua kali untuk membelinya. Tapi percayalah, kuih-muih tradisional itu ‘berahi’ untuk dimakan berulang kali.

Iklan

Bak kata penjual kuih ulat bulu dari Kelantan, Wan Nor Asiken Wan Omar, 30, nama kuih yang pelik-pelik itulah yang menjadikan ramai pelanggan tertarik untuk membeli.

Ya! benar sekali. Sekali pandang memang persis kuih onde-onde versi bujur tetapi apabila ditanya namanya, pasti ramai terkejut apabila kuih berasaskan tepung pulut itu digelar ulat bulu.

Ada banyak lagi nama yang pelik-pelik tetapi sayangnya keunikan nama sajian-sajian tradisional itu bagaikan lenyap ditelan zaman dek kerana anak muda milenial kini lebih ke arah ‘selera hipster’ dan moden.Sajian

Jika disoal nama sajian tradisional ini, boleh dikira berapa peratus sahaja yang boleh memberikan jawapan tepat bahkan ada yang tidak kenal langsung kuih yang menjadi kegemaran mak-mak kita dulu-dulu.

Barangkali disebabkan alasan itu membuatkan Fazidatul Laily Sokeman, 37, membuat kuih tepung puli dengan memberi sedikit nafas baharu namun tidak sesekali menjejaskan keasliannya.

Siapa yang pernah membeli sajian tepung puli air tangan ibu kepada empat cahaya mata itu pasti teruja dengan ekstrak warna-warni semula jadi seperti bunga telang, pandan dan ubi bit.

Percayalah, kuih tradisional ini ada peminatnya tersendiri dan jika pandai promosi, pasti ramai teruja untuk membelinya dengan nama yang boleh disifatkan boleh jual walaupun orang kata jelik.

Buat wanita yang ‘kehilangan’ punca pendapatan dek penangan Covid-19, barangkali mereka boleh cuba belajar membuat kuih atas talian kerana banyak kelas dijalankan hanya di hujung jari.

Apa yang penting, rajin berusaha dan tawakal. Duit tidak akan jatuh melayang sendiri di depan mata jika tiada usaha. Seperti yang diakui peminat kuih tradisional, Fatin Damia Ulfa Shuib, gadis cantik itu sanggup belajar ke negeri-negeri untuk mendapatkan resipi terbaik.

Hanya bermula daripada belajar resipi dengan orang kampung yang ditemui, anak kacukan Cina, Siam dan Iban itu mula mencuba resipi dan menjualnya kepada pelanggan untuk menjana pendapatan.

Siapa sangka sambutan yang diberikan sangat menakjubkan bahkan Fatin Damia Ulfa juga tidak ketinggalan berkongsi ilmu dengan kelas membuat kuih, kek dan pastri yang dibuka secara atas talian.

Kegigihan wanita itu wajar dicontohi dan janganlah sesekali menyesali nasib dek terkesan dengan penularan wabak pandemik. Seperti amanat pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah,"ALLAH tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuannya.”

Kata pakar motivasi itu:"ALLAH tidak akan ambil sesuatu daripada hambanya kecuali digantikan dengan yang lebih baik dengan syarat adakah aku ini bertambah baik untuk menerima kebaikan yang ALLAH beri?”

Tanyalah hati, tanyalah diri. #janganputusasamalaysia

* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan Content Lifestyle Sinar Harian