Kita mesti terus waspada

Iklan
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memeriksa suhu badan warga emas yang hendak masuk ke Pasar Chow Kit. -Foto Bernama

SETELAH hampir dua bulan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghadapi wabak Covid-19, kita sekarang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini berikutan daripada pengumuman Perdana Menteri pada 7 Jun 2020 bahawa PKPP ini akan berkuat kuasa dari 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.

Iklan
Iklan

PKPP ini menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sebelum itu menggantikan PKP.

Sepanjang PKPP, negara telah menyaksikan beberapa perkhidmatan dimulakan semula di samping beberapa peraturan yang diwujudkan semasa PKP dilonggarkan sedikit demi sedikit.

Iklan

Kedai gunting rambut dan salon telah beroperasi sejak beberapa minggu lalu, pawagam telah dibuka semula dan spa serta pusat refleksologi telah dibenarkan beroperasi sejak 1 Julai 2020.

Banyak perniagaan yang semakin rancak selepas beberapa bulan tidak banyak aktiviti. Gedung membeli-belah semakin dipenuhi orang, walaupun mungkin masih belum sampai ke tahap sebelum ini. Sama juga dengan restoran dan kedai makan yang melihat ramai pengunjung kembali, walaupun masih terdapat peraturan penjarakkan sosial.

Iklan

Angka harian kes positif juga tidak melebihi 20 kes baharu setiap hari sejak 21 Jun 2020. Ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan angka kes positif beberapa bulan lepas di mana mencecah tiga digit secara konsisten.

Kementerian Kesihatan sendiri ada menyatakan bahawa ia menyasarkan negara untuk mencapai Covid-19 sifar dalam bulan ini juga.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sasaran sifar Covid-19 itu boleh dicapai sekiranya semua pihak mematuhi SOP PKPP terutama sekali berkenaan penjarakkan sosial, pemakaian pelitup muka dan sanitisasi diri.

Sudah tentu, sebahagian besar kejayaan negara dalam menghadapi wabak Covid-19 ini adalah disebabkan dedikasi dan komitmen petugas bahagian hadapan. Situasi Covid-19 ini dapat dikawal kerana kita mempunyai kakitangan awam yang menjalankan tugas dengan baik.

Akan tetapi, impak ekonomi Covid-19 juga sedang dirasai. Angka pengangguran semakin meningkat setiap bulan walaupun ekonomi sudah dibuka semula. Pelbagai pakej bantuan yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan hanya menjadi ‘ubat sementara’ dan untuk ramai individu, apa yang diberi adalah tidak mencukupi.

Kerajaan telah mengatakan bahawa mereka akan membentangkan rang undang-undang Covid-19 untuk membantu orang ramai dan perniagaan menempuhi wabak tersebut. RUU itu dikatakan akan dibentangkan dalam bulan ini di Parlimen, tetapi sekiranya RUU itu diluluskan sekalipun, ia hanya akan berkuat kuasa paling awal bulan September 2020.

Bulan September adalah terlalu lewat. Ramai sudah hilang punca pendapatan dan telah terkesan dengan wabak tersebut sejak awal tahun. Tetapi oleh kerana Parlimen hanya mula bersidang penuh pada bulan Julai, maka kerajaan terpaksalah membentangkan RUU ini sekarang.

Apa yang lebih penting adalah kita harus terus berwaspada. Ada banyak contoh di mana jumlah kes positif Covid-19 telah meningkat selepas lockdown di negara lain. Korea Selatan dan Australia menyaksikan gelombang kedua selepas berjaya menangani pandemik itu.

Kita tidak mahu perkara sama berlaku di Malaysia. Sekiranya PKP terpaksa dikenakan semula, kesannya pada negara dan rakyat adalah lebih buruk.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur